KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Thailand, Anthony Hudson mengakui beliau masih belum dapat menjangka corak permainan Harimau Malaya menjelang aksi ASEAN Hyundai Cup 2026 susulan pelantikan ketua jurulatih baharu negara.
Menurut pengendali kelahiran England itu, Thailand masih belum mempunyai gambaran jelas mengenai pendekatan taktikal Malaysia selepas pemergian Peter Cklamovski, namun percaya pasukannya akan memperoleh maklumat lebih tepat selepas menyaksikan aksi awal skuad negara dalam kejohanan itu.
“Kerana mereka mempunyai jurulatih baharu, kami belum benar-benar tahu bagaimana mereka akan bermain. Namun, sebelum kami bertemu Malaysia, kami berpeluang melihat mereka beraksi terlebih dahulu.
“Buat masa ini memang sukar untuk mengetahui corak permainan mereka, tetapi kami perlu menghormati setiap lawan. Kami akan memberi tumpuan satu perlawanan pada satu masa dan saya percaya kami mempunyai kumpulan pemain yang baik untuk kejohanan ini,” katanya dipetik dari portal SNE Sports.
Hudson berkata, identiti permainan Malaysia dijangka lebih jelas apabila kejohanan bermula, namun Thailand lebih mengutamakan prestasi sendiri berbanding terlalu memikirkan kekuatan lawan.
Mengulas mengenai pencabar utama dalam Kumpulan B, beliau menyifatkan perlawanan di tempat lawan menentang Filipina dijangka menjadi ujian paling sukar buat skuad Gajah Perang.
“Saya fikir aksi di gelanggang Filipina akan menjadi perlawanan yang sangat sukar.
“Kami sedang mengkaji semua pasukan, tetapi ada beberapa perlawanan persahabatan yang kami sendiri tidak dapat memperoleh rakamannya. Namun, saya percaya aksi di Filipina akan menjadi antara cabaran terbesar,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hudson turut melahirkan kebimbangan mengenai tempoh persiapan Thailand yang singkat apabila skuadnya hanya mempunyai kira-kira 11 hari untuk menjalani latihan sebelum kejohanan bermula.
Katanya, situasi itu berlaku kerana kejohanan berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA, sekali gus menyukarkan pasukan memanggil pemain terbaik tanpa menjejaskan persiapan menghadapi aksi kelayakan AFC Asian Cup.
“Jika kami mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan ini, kami perlu mengorbankan persiapan bagi jendela FIFA pada September dan Oktober serta persediaan ke Piala Asia. Itu bukan keputusan yang tepat.
“Jendela FIFA lebih penting kerana ketika itu semua pemain dapat dikumpulkan dan persiapan boleh dilakukan dengan lebih sempurna,” katanya.
Hudson turut menjelaskan beberapa pencabar serantau sudah memulakan kem latihan lebih awal, termasuk Vietnam, manakala Singapura mengadakan tiga aksi persahabatan termasuk jelajah ke Jepun.
Bagaimanapun, beliau tetap yakin Thailand mampu meningkatkan prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan sepanjang kempen kejohanan.
Thailand diundi dalam Kumpulan B bersama Malaysia, Filipina, Myanmar dan Laos pada saingan ASEAN Hyundai Cup 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FA Thailand
