SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendakwa kenyataan terbaharu bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap Iran menunjukkan beliau tidak pernah benar-benar mengutamakan keamanan, sebaliknya terus menggunakan pendekatan ugutan dan tekanan ketenteraan.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan yang dikaitkan dengan Trump termasuk ancaman untuk melancarkan semula tindakan ketenteraan, dakwaan gencatan senjata sudah berakhir serta amaran bahawa Amerika Syarikat akan “menyelesaikan tugas” sekiranya rundingan gagal, mencerminkan pendekatan konfrontasi yang membimbangkan.
Menurut beliau, penggunaan penghinaan, ugutan dan ancaman ketenteraan bukanlah bahasa diplomasi, sebaliknya merupakan bentuk paksaan terhadap sesebuah negara.
“Strategi Washington dan Tel Aviv yang bergantung kepada kekuatan ketenteraan serta tekanan ekonomi dilihat gagal memaksa Iran tunduk kepada kehendak politik mereka.
“Iran tidak runtuh di bawah tekanan, tidak menyerahkan kedaulatannya dan tidak meninggalkan apa yang dianggap sebagai hak serta kepentingan keselamatan negaranya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Azmi berkata, konflik tersebut sebaliknya memperlihatkan keupayaan Iran bertahan, menyesuaikan strategi dan menunjukkan kesabaran dalam menghadapi tekanan berterusan.
Beliau berkata, retorik terbaharu Trump yang kembali mengancam tindakan ketenteraan hanya akan meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat.
“Ancaman ketenteraan ketika bercakap mengenai keamanan akan menjejaskan kredibiliti, manakala rundingan tidak boleh berkembang di bawah bayangan ugutan.
“Rantau Asia Barat sudah lama menderita akibat peperangan, campur tangan asing dan persaingan geopolitik. Rakyat di rantau itu berhak menikmati keamanan, kestabilan dan pembangunan, bukannya terus berdepan peningkatan konflik,” katanya.
Beliau berkata, keamanan hanya boleh dicapai melalui penghormatan terhadap kedaulatan negara, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan dialog yang bermakna.
Sehubungan itu, Mapim menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kuasa serantau dan masyarakat antarabangsa memperhebat usaha diplomatik bagi mengelakkan konflik yang lebih besar.
“Perbezaan politik perlu diselesaikan di meja rundingan, bukannya di medan perang.
“Sejarah membuktikan peperangan mungkin memusnahkan bandar, ekonomi dan nyawa, tetapi jarang sekali memadamkan semangat sesebuah negara untuk mempertahankan kedaulatan serta maruahnya,” katanya. – DETIK MALAYSIA
