SHAH ALAM – Sebahagian media arus perdana Barat didakwa cuba memperkecilkan liputan mengenai perarakan pengebumian pemimpin tertinggi Iran yang disifatkan sebagai antara perhimpunan pengebumian terbesar dalam sejarah moden.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kehadiran jutaan rakyat di Tehran, Qom, Mashhad dan beberapa bandar lain di Iran menunjukkan sokongan serta penghormatan yang tinggi terhadap pemimpin berkenaan.
Menurut beliau, perhimpunan itu bukanlah satu acara yang direka atau dimanipulasi, sebaliknya merupakan luahan spontan kesedihan, kesetiaan dan solidariti rakyat terhadap seorang pemimpin yang dianggap mempertahankan kedaulatan serta maruah negara mereka.
“Dunia menyaksikan sendiri skala kehadiran rakyat dalam perarakan pengebumian itu, namun sebahagian media Barat dilihat tidak selesa untuk melaporkannya secara menyeluruh kerana ia mencabar naratif yang selama ini menggambarkan kepimpinan Iran tidak mendapat sokongan rakyat.
“Sebaliknya, mereka memilih pelaporan yang terpilih dan cuba mengurangkan kepentingan peristiwa bersejarah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Azmi berkata, fakta mengenai kehadiran jutaan manusia tidak boleh dipadamkan hanya kerana kecenderungan editorial atau kepentingan geopolitik.
Katanya, sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan dasar Iran bukanlah isu utama, sebaliknya skala pengebumian itu sendiri merupakan satu fakta sejarah yang perlu dilaporkan secara objektif.
“Pelaporan profesional menuntut kesetiaan kepada fakta, bukannya kepatuhan kepada agenda politik.
“Pengebumian itu bukan sekadar upacara mengucapkan selamat tinggal kepada seorang pemimpin, tetapi turut menjadi simbol keteguhan sesebuah negara dalam mempertahankan maruah, kedaulatan dan perjuangannya,” katanya.
Beliau berkata, sejarah akan mengingati jutaan manusia yang hadir memberi penghormatan kepada pemimpin mereka, selain turut mencatat bagaimana sebahagian pihak memilih untuk tidak memberikan gambaran penuh terhadap peristiwa tersebut. – DETIK MALAYSIA
