SACHSENRING – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bertekad meneruskan momentum cemerlang apabila menghadapi pusingan ke-11 Kejuaraan Dunia Moto3 2026 sempena Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring hujung minggu ini.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu hadir ke Jerman dengan keyakinan tinggi selepas mencipta kemenangan sulung Grand Prix pada GP Republik Czech sebelum menambah sembilan mata menerusi penamat di GP Belanda.
Keputusan itu melonjakkan pelumba berusia 18 tahun tersebut ke tangga keenam keseluruhan carta Moto3.
Bagaimanapun, Hakim mengakui Sachsenring bakal memberikan cabaran berbeza berikutan karakter litar yang sempit dengan dominasi selekoh kiri, sekali gus menuntut tahap ketepatan, konsistensi dan fokus yang tinggi sepanjang perlumbaan.
Musim lalu, Hakim pernah beraksi di litar sama dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-10 sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-18.
Namun, peningkatan prestasinya sepanjang setahun lalu memberikan keyakinan tambahan menjelang aksi hujung minggu ini.
Sepanjang tempoh rehat seminggu, Hakim meningkatkan persiapan menerusi latihan fizikal serta analisis perlumbaan, termasuk mengulang kaji aksi Moto3 di Sachsenring musim lalu.
Prestasi konsistennya sepanjang musim ini turut menyaksikan beliau kini menghuni tangga kedua carta Rookie of the Year dengan 82 mata, hanya 20 mata di belakang pendahulu, Brian Uriarte.
Hakim yang berjaya mara ke sesi kelayakan kedua (Q2) secara konsisten dalam beberapa pusingan terakhir turut menyasarkan untuk mengekalkan prestasi tersebut di Jerman.
“Hujung minggu ini saya akan berlumba di Grand Prix Jerman dan saya sangat teruja kerana ia adalah perlumbaan terakhir sebelum cuti musim panas.
“Sepanjang minggu lalu saya berlatih bersungguh-sungguh, menilai semula perlumbaan sebelum ini dan menonton semula perlumbaan Moto3 tahun lalu sebagai persediaan terbaik.
“Seperti biasa, sasaran saya adalah untuk mendapatkan rentak seawal mungkin. Sachsenring bukan litar yang mudah buat saya kerana mempunyai banyak selekoh kiri dan reka bentuknya lebih menyerupai litar go-kart berbanding litar Grand Prix biasa.
“Saya akan cuba menyesuaikan diri secepat mungkin dan memberikan aksi terbaik sepanjang hujung minggu ini,” katanya.
Selepas mencipta kemenangan bersejarah di Republik Czech, Hakim kini membawa harapan besar sebagai prospek terbaik sukan permotoran negara selain muncul antara pencabar utama anugerah Rookie of the Year musim ini.
Aksi cemerlang di Sachsenring mampu mengukuhkan lagi kedudukannya dalam carta keseluruhan Moto3 dan kategori rookie sebelum saingan memasuki cuti pertengahan musim. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
