KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) mengecam kenyataan veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim yang dilaporkan menggesa supaya cadangan pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX) dibatalkan.
Presidennya, Dr. Afifuddin Sahlan berkata, kenyataan tersebut disifatkan sebagai melampau, provokatif dan menyinggung perasaan umat Islam kerana mempertikaikan pembinaan sebuah institusi masjid.
Menurut beliau, masjid bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai pusat pembangunan masyarakat, pendidikan, kebajikan dan perpaduan.
“Adalah amat dikesali apabila seorang tokoh politik yang didakwa berpengalaman mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap fungsi dan peranan masjid dalam masyarakat majmuk.
“Menggambarkan pembinaan sebuah masjid sebagai punca ketidakharmonian adalah satu dakwaan yang tidak berasas dan boleh mencetuskan konflik dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sejarah negara membuktikan kewujudan masjid di ibu kota termasuk Masjid Negara tidak pernah menjadi ancaman kepada keharmonian masyarakat atau pembangunan ekonomi.
Sebaliknya, katanya, institusi masjid sentiasa memainkan peranan positif dalam membentuk nilai kemasyarakatan, kerohanian dan perpaduan rakyat.
Tambah beliau, kenyataan yang mempertikaikan pembinaan masjid juga dilihat bertentangan dengan semangat menghormati sensitiviti agama serta kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun Perlembagaan menjamin kebebasan beragama kepada semua rakyat, hak umat Islam untuk membina dan memakmurkan rumah ibadah tidak harus dicabar.
“Veteran DAP itu juga perlu menghormati hal-hal dasar berkaitan institusi masjid yang menyentuh aspek akidah dan ibadah umat Islam,” ujarnya.
Sehubungan itu, Pemuda Masjid mendesak Teng menarik balik kenyataannya secara terbuka serta memohon maaf kepada umat Islam.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pemimpin politik supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan agama dan rumah ibadah demi memelihara keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
“Pemuda Masjid akan terus mempertahankan kedudukan dan kemuliaan institusi masjid serta mengajak seluruh rakyat Malaysia memelihara semangat saling menghormati antara agama demi menjamin keamanan dan kestabilan negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA