PHILADELPHIA – Perlawanan Kumpulan I Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Iraq di Stadium Lincoln Financial Field berdepan risiko ditangguhkan susulan amaran ribut petir teruk yang dijangka melanda bandar raya itu hari ini.
Menurut ramalan cuaca, ribut dijangka berlaku antara pukul 2 petang hingga 7 malam waktu tempatan, iaitu sepanjang tempoh perlawanan yang dijadualkan bermula pukul 5 petang (5 pagi waktu Malaysia).
Keadaan cuaca buruk itu dijangka membawa tiupan angin kencang, kilat yang kerap, hujan lebat, banjir kilat serta kemungkinan puting beliung terpencil di beberapa kawasan sekitar Philadelphia.
Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa gangguan terhadap lalu lintas, pengangkutan awam dan penerbangan mungkin berlaku sekiranya cuaca terus merosot.
Mengikut protokol keselamatan di Amerika Syarikat, sebarang acara sukan perlu dihentikan serta-merta jika kilat dikesan dalam lingkungan kira-kira 13 kilometer dari stadium.
Peraturan itu menetapkan permainan hanya boleh disambung semula selepas tempoh menunggu selama 30 minit. Jika kilat kembali dikesan dalam tempoh tersebut, kiraan masa akan bermula semula.
Situasi sama pernah berlaku dalam kejohanan bola sepak antarabangsa di negara itu apabila beberapa aksi FIFA Club World Cup terpaksa dihentikan akibat cuaca buruk, termasuk pertemuan antara Chelsea FC dan SL Benfica yang tertangguh lebih empat jam kerana ancaman kilat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Manchester City