DALLAS – Juara bertahan, Argentina mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Austria 2-0 dalam aksi Kumpulan C di AT&T Stadium hari ini.
Kemenangan itu turut menyaksikan kapten Argentina, Lionel Messi mencipta sejarah apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan Piala Dunia dengan 18 gol.
Bintang berusia 38 tahun itu membuka jaringan pada minit ke-38 sebelum menambah gol kedua pada masa kecederaan, sekali gus memadam rekod 17 gol yang sebelum ini dipegang legenda Jerman, Miroslav Klose.
Argentina sepatutnya berada di depan lebih awal apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit kesembilan selepas semakan VAR mendapati Lautaro Martínez dijatuhkan dalam kotak penalti. Namun, Messi gagal menyempurnakan peluang tersebut apabila sepakannya tersasar.
Austria kemudian memberikan tentangan sengit menerusi beberapa percubaan berbahaya yang diketuai Marcel Sabitzer, manakala penjaga gol Alexander Schlager turut cemerlang menafikan beberapa peluang Argentina.
Bagaimanapun, Argentina akhirnya memecah kebuntuan menjelang tamat babak pertama apabila gerakan kemas yang dimulakan Thiago Almada dan Facundo Medina disudahkan Messi dengan rembatan rendah menewaskan Schlager.
Austria meningkatkan tekanan selepas rehat dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Nicolas Seiwald serta Sabitzer, namun penjaga gol Argentina, Emiliano Martínez bertindak cemerlang memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Ketika Austria ghairah memburu gol penyamaan, Argentina menghukum lawan menerusi serangan balas pantas pada masa kecederaan sebelum Messi menyempurnakan peluang untuk gol keduanya malam itu.
Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan skuad bimbingan Lionel Scaloni mengumpul enam mata maksimum dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati, sekali gus terus menghidupkan impian mempertahankan kejuaraan dunia.
Austria pula masih berpeluang mara, namun perlu memastikan kemenangan pada aksi terakhir kumpulan menentang Algeria. Argentina akan melengkapkan saingan kumpulan dengan menentang Jordan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFA
