PUTRAJAYA – Erwin Khairul Ahmad dilantik sebagai Ketua Pengarah baharu Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) berkuat kuasa semalam.
Pelantikan beliau yang berusia 50 tahun itu menjadikannya Ketua Pengarah JAPEN ke-20 sejak jabatan berkenaan ditubuhkan pada tahun 1945.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu merupakan graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Ijazah Sarjana Muda Sebaran Am (Kepujian) dalam bidang Penyiaran serta Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi.
Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Penerangan pada tahun 2001 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang komunikasi strategik, pengurusan isu serta media siber.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JAPEN, Timbalan Pengarah Bahagian Media Siber JAPEN, Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik Kementerian Komunikasi serta Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JAPEN.
Selain itu, beliau turut menyandang jawatan Naib Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), badan profesional yang berperanan memperkasa industri perhubungan awam negara.
Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang penerangan dan komunikasi strategik, pelantikan Erwin Khairul diyakini mampu memperkukuh peranan JAPEN sebagai agensi peneraju komunikasi kerajaan yang lebih berkesan, dinamik dan berwibawa. – DETIK MALAYSIA