KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini menerima seramai 743 daripada 980 pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027 bagi Program Asasi STEM dan Diploma Perikanan.
Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata setiap pelajar yang melangkah masuk ke kampus universiti itu membawa bersama impian, harapan dan potensi yang besar untuk dibangunkan sepanjang tempoh pengajian mereka.
“Setiap pelajar yang melangkah masuk ke kampus UMT hari ini membawa bersama impian, harapan dan potensi yang besar. Tugas kita adalah memastikan potensi tersebut dapat berkembang menjadi kecemerlangan yang memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan dunia.
“Di UMT, kami bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi membentuk generasi masa depan yang mampu menerajui perubahan,” katanya sempena hari pendaftaran pelajar baharu di kampus UMT.
Bagi Marissa Irdina Mohamad Idris, 18, dari Kuala Lumpur, pendaftaran ke Program Asasi STEM merupakan langkah pertama untuk merealisasikan minatnya dalam bidang data analitik.
Menurut beliau, keputusan memilih UMT dibuat selepas mengunjungi reruai universiti itu ketika program Jom Masuk Universiti yang memberi gambaran jelas mengenai peluang pendidikan dan prospek kerjaya yang ditawarkan.
“Saya mula berminat untuk menyambung pengajian di UMT selepas mengunjungi booth pameran Jom Masuk Universiti. Penerangan yang diberikan sangat membantu dan membuka mata saya tentang peluang yang ada di sini.
“Saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang data analitik dan berharap program ini dapat menjadi asas yang kukuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, bagi Nur Qaira Damia Amir Abdullah yang mendaftar dalam Program Diploma Perikanan, tawaran melanjutkan pengajian ke UMT disifatkan sebagai peluang berharga untuk mengubah masa depan diri dan keluarganya.
Pelajar yang berasal daripada keluarga asnaf itu mengakui tidak menyangka akan menerima tawaran ke UMT memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga.
“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang melanjutkan pengajian program Diploma Perikanan di UMT walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran.
“Apabila menerima tawaran ini, saya menganggapnya sebagai satu rezeki dan peluang kedua untuk membuktikan kemampuan diri kerana saya masih mempunyai keinginan yang kuat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Kisah kehidupan Nur Qaira Damia Amir Abdullah sebelum ini pernah mendapat perhatian media apabila kisah hidup yang dihadapi keluarganya sebagai golongan asnaf yang berdepan kekangan kewangan.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian pengurusan tertinggi UMT apabila Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim sendiri telah mengunjungi kediaman keluarganya bagi melihat keadaan mereka serta menyampaikan bantuan sokongan dan kata-kata semangat.
Menurut Nur Qaira Damia, kunjungan itu memberi motivasi besar kepadanya untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.
“Saya sangat terharu apabila pihak UMT, khususnya Naib Canselor sendiri, mengambil berat tentang keadaan keluarga saya. Sokongan yang diberikan membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Saya berharap dapat memanfaatkan segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh di UMT untuk membina masa depan yang lebih baik, meningkatkan taraf hidup keluarga serta membalas segala pengorbanan ibu bapa yang sentiasa menyokong saya.
“Bagi saya, UMT bukan sekadar tempat belajar, tetapi platform untuk saya mengubah masa depan diri dan keluarga ke arah yang lebih baik,” katanya.
Prof. Dr. Mohd Zamri berkata, UMT sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Nur Qaira Damia adalah antara contoh bagaimana pendidikan mampu menjadi pemangkin perubahan kehidupan seseorang. Di UMT, kami percaya setiap anak muda mempunyai potensi untuk berjaya sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“Kejayaan sebenar universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui kemampuan kita membantu mengubah kehidupan pelajar dan keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata kemasukan pelajar baharu tahun ini mencerminkan keyakinan berterusan masyarakat terhadap peranan UMT dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kelautan dan sumber perikanan yang menjadi kekuatan utama universiti itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UMT