TANJUNG MALIM – RHB Islamic Bank Berhad menyalurkan sumbangan Kad MySiswa bernilai RM111,595 kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan mahasiswa institusi berkenaan.
Sumbangan tersebut disampaikan sempena Majlis Penutupan Program RHB Ocean Harmoni dan MySiswa Brand Challenge 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UPSI.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, sumbangan itu amat bermakna dalam membantu usaha memperkasa kebajikan serta pembangunan pelajar universiti berkenaan.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara UPSI dan RHB turut mencerminkan komitmen sektor korporat dalam menyokong agenda pendidikan tinggi negara.

Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali yang berkongsi pandangan serta pengalaman mengenai pengurusan kewangan mampan dalam menghadapi cabaran semasa.
Md Amin berkata, program berkenaan memberi pendedahan berguna kepada mahasiswa dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kesedaran tentang kepentingan pengurusan kewangan yang bijak dan berdaya tahan.
“Semoga program seperti ini terus memberi manfaat kepada mahasiswa dalam membina masa depan yang lebih terancang dan mampan,” katanya di sini semalam.
Program RHB Ocean Harmoni dan MySiswa Brand Challenge 2026 merupakan antara inisiatif kerjasama universiti dan industri yang memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, literasi kewangan serta kesejahteraan mahasiswa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI