GEORGE TOWN – Penang FC bakal menjadi wakil tunggal Malaysia pada kejohanan antarabangsa sulung, Songkhla PAO Charity Shield 2026 yang akan berlangsung di Songkhla, Thailand dari 7 hingga 9 Ogos depan.
Kejohanan anjuran Pentadbiran Wilayah Songkhla (Songkhla PAO) itu bakal menghimpunkan empat pasukan termasuk Penang FC bersama tiga kelab Thailand dalam usaha mengeratkan hubungan bola sepak serantau sambil menyokong pelbagai inisiatif kebajikan masyarakat.
Selain Penang FC, kejohanan tersebut turut disertai Pattani FC, Songkhla FC dan Nara United.
Semua perlawanan akan berlangsung di Tinsulanonda Stadium, manakala jadual penuh perlawanan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Penyertaan Penang FC dalam kejohanan itu dilihat sebagai platform terbaik untuk menguji kekuatan pasukan menjelang saingan musim baharu Liga Malaysia selain memperkukuhkan hubungan bola sepak antara Malaysia dan Thailand.
Lebih menarik, kejohanan tersebut bukan sekadar menawarkan aksi kompetitif di atas padang, malah membawa misi kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Penganjur memaklumkan hasil kutipan kejohanan selepas ditolak kos operasi akan disalurkan kepada program pembangunan sukan, promosi pelancongan, sektor kesihatan serta bantuan kepada kanak-kanak, belia dan komuniti di wilayah Songkhla.
Inisiatif itu turut menjadi sebahagian daripada usaha menjadikan Songkhla sebagai hab sukan utama rantau ini menerusi agenda “Songkhla Sport City”.
Dengan kehadiran Penang FC, kejohanan berkenaan dijangka menarik kehadiran penyokong dari kedua-dua negara sekali gus mewujudkan suasana meriah serta memperkukuhkan kerjasama sukan rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Penyertaan skuad Harimau Kumbang itu juga dijangka memberi nilai tambah kepada kejohanan yang berpotensi menjadi acara tahunan di rantau Asia Tenggara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Penang FC