SHAH ALAM – Amerika Syarikat diingatkan agar memahami implikasi besar sekiranya memilih jalan perang terhadap Iran dalam bulan Ramadan, yang disifatkan berpotensi membangkitkan “Semangat Badar” di seluruh dunia Islam.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya memandang serius ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara itu, termasuk laporan peningkatan kehadiran ketenteraan dan ancaman berulang mengenai kemungkinan serangan “terhad” sekiranya rundingan menemui jalan buntu.
Menurut beliau, situasi itu berlaku ketika umat Islam sedang melalui Ramadan, bulan suci yang bagi Malaysia tahun ini bermula pada 19 Februari 2026 bersamaan 1447 Hijrah.
“Peperangan yang dilancarkan dalam bulan Ramadan tidak akan menghasilkan kesan pencegahan seperti diharapkan. Sebaliknya, ia akan membangkitkan kesedaran, solidariti dan ketahanan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, istilah “Semangat Badar” merujuk kepada pengajaran daripada peristiwa Perang Badar yang menzahirkan kejelasan moral, keteguhan pendirian dan kebangkitan kolektif dalam menghadapi kezaliman serta pencerobohan.
“Tafsiran ini bukan memuliakan peperangan, sebaliknya mengingatkan bahawa keangkuhan kuasa tidak menjamin kemenangan dan masyarakat yang ditekan tidak akan mudah menyerah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapim menyeru pengurangan ketegangan segera melalui diplomasi berterusan, mengambil kira kenyataan Iran yang menyatakan kesediaan mencari penyelesaian diplomatik termasuk langkah pembinaan keyakinan sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan.
Selain itu, badan tersebut menggesa mekanisme multilateral di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diperkasakan bagi mencegah konflik, termasuk diplomasi pencegahan segera untuk mengelakkan salah perhitungan yang boleh membawa bencana.
Mohd Azmi turut menekankan peranan Kongres, masyarakat sivil, komuniti agama dan rakyat Amerika Syarikat untuk memastikan peperangan bukan dijadikan pilihan dasar serta pematuhan terhadap prinsip undang-undang dan perlembagaan terus dipelihara.
“Peperangan dalam bulan Ramadan tidak akan membungkam rantau ini. Ia akan membangkitkannya.
“Dunia memerlukan kebijaksanaan, kesederhanaan dan penghormatan kepada undang-undang, bukan satu lagi konflik yang berpotensi mencetuskan kemusnahan lebih besar,” katanya. – DETIK MALAYSIA