KOTA KINABALU – Johor Darul Ta’zim F.C. sekali lagi membuktikan status selaku kuasa besar bola sepak negara apabila membelasah Sabah FC 6-1 pada aksi Liga Super 2025/26 di Stadium Likas, malam tadi.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan Harimau Selatan terus selesa di puncak liga, meninggalkan pencabar terdekat dengan jurang mata yang semakin melebar.
Drama bermula seawal minit kelapan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT selepas semakan VAR mengesan kekasaran dalam kotak penalti. Bergson da Silva tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk membuka tirai jaringan.
Bekas penyerang Sabah, Ajdin Mujagic kemudian menghukum bekas pasukannya dengan dua gol masing-masing pada minit ke-21 dan 40. Di celah-celah itu, Oscar Arribas turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-24.
Separuh masa pertama berakhir dengan JDT selesa mendahului 4-0, sekali gus meletakkan Sabah dalam situasi sukar di hadapan penyokong sendiri.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Esteban Solari tidak menoleh ke belakang. Manuel Hidalgo hanya memerlukan seminit selepas sepak mula untuk menjadikan kedudukan 5-0.
Dua minit kemudian, Arribas melengkapkan gol peribadi keduanya bagi menjadikan kedudukan 6-0, sekali gus memadam terus sisa harapan tuan rumah.
Sabah sekadar memperoleh gol saguhati menerusi Chris Marlon Ondong-Mba, namun ia belum cukup untuk menutup luka kekalahan besar tersebut. Malah, situasi bertambah perit apabila Antonio Glauder dilayangkan kad merah pada minit ke-90.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mengumpul 51 mata, jauh meninggalkan Selangor FC di tangga kedua.
Selepas ini, JDT akan mengalihkan tumpuan ke aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Melaka FC, manakala Sabah perlu segera bangkit sebelum berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST