PETALING JAYA – Jaringan lewat penyerang import Brazil, Chrigor Moraes muncul pemisah ketika Selangor FC menewaskan Kuching City FC 1-0 pada aksi Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, malam tadi.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong setia, Gergasi Merah mempamerkan permainan sabar dan tersusun sebelum berjaya memecah kebuntuan pada penghujung perlawanan.
Selangor mempertaruhkan Kalamullah Al-Hafiz di gawang, dengan Faisal Halim menggalas lilitan kapten, manakala Chrigor Moraes mengetuai jentera serangan. Kuching City pula menyandarkan harapan kepada Haziq Nadzli sebagai benteng terakhir dan Ronald Ngah Wanja di bahagian hadapan.
Tuan rumah memulakan aksi dengan agresif apabila melancarkan beberapa gerakan berbahaya seawal minit pertama. Pada minit ke-25, Chrigor hampir meletakkan Selangor di hadapan, namun percubaannya sekadar melewati palang gol.
Dua minit kemudian, Kuching City hampir mengejutkan penyokong tuan rumah menerusi Ramadhan Saifullah, namun benteng Selangor pantas mengekang asakan tersebut.
Walaupun menguasai sebahagian besar permainan dan tempo babak pertama, Selangor gagal memecahkan kebuntuan. Empat minit masa tambahan tidak mengubah keputusan, kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan 0-0.
Bersambung babak kedua, Selangor meningkatkan intensiti permainan. Sorakan padu penyokong jelas menyuntik semangat pemain, namun penyudah tumpul terus menghantui jentera serangan tuan rumah.
Chrigor kekal menjadi ancaman utama apabila beberapa kali menguji ketangkasan Haziq Nadzli yang mempamerkan aksi cemerlang bagi memastikan Kuching City terus bernyawa.
Menyedari tekanan yang semakin memuncak, Kuching City melakukan empat pertukaran pemain pada penghujung perlawanan bagi menyegarkan pasukan dan memburu gol di tempat lawan.
Namun, kealpaan benteng pelawat pada minit ke-86 akhirnya mengundang padah. Chrigor tidak mensia-siakan peluang terhidang apabila tenang menyempurnakan jaringan tunggal perlawanan sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh di stadium.
Dalam masa kecederaan, Haziq sekali lagi menyelamatkan keadaan menerusi satu aksi satu lawan satu menafikan hasrat Chrigor menambah gol.
Keputusan 1-0 itu memastikan Selangor meraih tiga mata berharga, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta Liga Super yang kini memasuki fasa kritikal musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC