CHERAS – Kuala Lumpur City FC mempamerkan aksi garang apabila membelasah DPMM FC 4-0 pada saingan Liga Super 2025/26 di Stadium KLFA, Cheras, sekali gus melonjak ke tangga ketiga carta liga.
Dua jaringan awal Safawi Rasid pada minit kesembilan dan ke-18 meletakkan tuan rumah di landasan terbaik untuk menguasai perlawanan. Penyudah klinikal pemain kebangsaan itu jelas memukau ribuan penyokong yang hadir, sekali gus membakar semangat rakan sepasukan.
Gol berganda tersebut memberi ruang kepada KL City untuk mengawal tempo permainan, manakala DPMM bergelut mengekang gerakan pantas dan tersusun yang diterapkan anak buah kendalian Risto Vidakovic.
Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak mengendurkan asakan. Pemain naturalisasi, Paulo Josue menambah derita pelawat pada minit ke-61 selepas memanfaatkan tekanan berterusan jentera tengah KL City.
Sembilan minit kemudian, penyerang import Sepanyol, Victor Ruiz melengkapkan pesta gol dengan jaringan keempat, sekali gus menutup malam gemilang skuad ibu kota dengan penuh bergaya.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan KL City mengumpul 33 mata untuk memintas Kuching City yang tewas tipis kepada Selangor sebelum ini.
Sebaliknya, DPMM terus dirundung keresahan apabila kekal di tangga kelapan dengan 18 mata selepas 17 perlawanan, dengan isu konsistensi masih menghantui kem mereka musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – KL City