GRESIK – Skuad bawah 17 tahun (U17) negara bermula langkah kiri apabila dibelasah Vietnam 0-4 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan ASEAN B-17 2026 di Stadium Gelora Joko Samudro, di sini, semalam.
Anak buah Shukor Adan yang turun dengan harapan mencipta permulaan positif nyata gagal menyaingi kehebatan Vietnam yang tampil lebih tersusun dan agresif sejak awal permainan.
Diketuai kapten, Adam Muqri Muhaizam, skuad muda negara terpaksa akur dengan tekanan lawan apabila gawang mereka dibolosi seawal minit ke-12 menerusi jaringan Le Sy Bach.
Pemain sama sekali lagi menghukum kelalaian benteng Malaysia pada minit ke-28 untuk meletakkan Vietnam selesa di hadapan, sebelum Nguyen Van Duong menambah derita dengan gol ketiga pada minit ke-38.
Ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama menyaksikan Malaysia cuba bangkit sebaik babak kedua bersambung, namun usaha tersebut tidak berhasil apabila Vietnam terus menguasai permainan.
Nguyen Manh Cuong kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Vietnam menerusi jaringan keempat pada minit ke-56 sekali gus menutup terus peluang Malaysia untuk bangkit.
Penjaga gol negara, Adam Nurfakrullah Mohd Fadli, berdepan detik sukar sepanjang perlawanan apabila diasak bertubi-tubi jentera serangan lawan.
Keputusan itu menyaksikan Vietnam mengungguli Kumpulan A dengan tiga mata, manakala Malaysia perlu segera bangkit menjelang aksi seterusnya menentang tuan rumah, Indonesia pada 16 April ini.
Perlawanan tersebut dianggap cukup penting dalam menentukan peluang skuad negara untuk melangkah ke peringkat kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM