ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kemaraan cemerlang dalam saingan Piala Malaysia 2025/26 selepas mencatat kemenangan agregat 11-1 ke atas PDRM FC untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.
Pada aksi timbal balik pusingan 16 terbaik yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi, Harimau Selatan menang 1-0 sekali gus melengkapkan kemenangan besar hasil kelebihan jaringan selesa pada perlawanan pertama.
Walaupun separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, JDT kekal menguasai perlawanan dengan kawalan permainan yang kemas di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Ketua jurulatih JDT mempertaruhkan Christian Abad sebagai penjaga gol, manakala Corbin Ong diberi kepercayaan mengetuai pasukan selaku kapten. Jentera serangan dikemudi oleh pemain import Brazil, Marcos Guilherme.
PDRM FC pula menurunkan Hakeem Hamidun di gawang dengan Elisha Oluwasegun mengetuai bahagian serangan.
Sejak wisel permulaan, JDT jelas mendominasi permainan apabila beberapa percubaan berbahaya dicipta menerusi Marcos Guilherme dan Teto Martin, sekali gus memaksa PDRM bertahan hampir sepanjang babak pertama.
Marcos hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-30, namun sepakan derasnya berjaya ditepis cemerlang oleh Hakeem. Nazmi Faiz turut mencuba nasib tidak lama kemudian, tetapi percubaannya sedikit tersasar.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-66 apabila Teto Martin meledak gol tunggal perlawanan, sekali gus meningkatkan kelebihan agregat JDT kepada 11 jaringan.
JDT terus menguasai permainan selepas itu dengan beberapa peluang tercipta menerusi Jairo da Silva dan Jonathan Silva, namun ketangkasan Hakeem menghalang keputusan menjadi lebih besar.
Sepakan tandukan Jairo pada penghujung perlawanan hampir menggandakan jaringan, namun sekali lagi penjaga gol PDRM tampil menyelamatkan keadaan.
Tamat perlawanan, keputusan 1-0 memastikan JDT melangkah ke suku akhir dengan kemenangan agregat 11-1, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara pasukan pilihan utama untuk menjulang kejuaraan musim ini.
Dalam aksi suku akhir nanti, Harimau Selatan dijadualkan bertemu Melaka FC, yang sebelum itu menyingkirkan Sabah untuk mengesahkan kemaraan ke kelompok lapan terbaik. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - JDT