KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City FC ambil pendekatan lebih berdisiplin di setiap posisi bagi mengekang kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terkenal dengan corak permainan agresif untuk aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam ini.
Tonggak KL City, Giancarlo Gallifuoco menyifatkan aksi separuh akhir bukan sekadar perlawanan biasa, malah ia adalah ujian sebenar daripada segi fizikal, mental dan keberanian terutamanya berdepan lawan terbaik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur nanti.
Justeru, dia sedar bahawa pasukan bukan sahaja perlu memantapkan taktikal sendiri, malah setiap pemain perlu ada mentaliti yang lebih berani untuk berada pada tahap terbaik bagi menyaingi kekuatan JDT yang terkenal dengan intensiti tinggi sepanjang perlawanan.
“JDT memiliki ramai pemain agresif dan tahan lasak. Mereka akan cuba cipta situasi satu lawan satu dan menyukarkan kami menguasai bola. Jadi kami perlu kekal fokus, berdisiplin dan bergerak sebagai satu pasukan tanpa gentar.
“Dalam masa sama, inilah perlawanan yang paling mencabar dan menaikkan semangat di mana setiap hantaran yang baik, setiap terjahan atau tandukan akan terasa lebih bermakna bila menentang pasukan terbaik.
“Jadi ia memang menuntut dari segi fizikal, tapi pada masa sama juga akan dapat memberi kepuasan,” jelasnya.
Namun, apa yang membuatkan pemain kelahiran Australia ini sentiasa teruja apabila melibatkan perlawanan berdepan kelab terbaik adalah semangat penyokong yang ada di belakang pasukan yang sekaligus memberikan motivasi tambahan kepada mereka untuk berentap sehabis baik.
“Kami sentiasa turun tanpa rasa takut meskipun ada kala kami rasa kami bukan pasukan pilihan untuk menang dan untuk saya, taktikal memang penting, tapi mentaliti jauh lebih penting daripada segalanya.
“Dah lima tahun saya di sini, hampir enam tahun, dan saya dah banyak kali berdepan JDT. Satu perkara yang saya belajar sebagai pemain KL City, kelab dan penyokong akan sentiasa menyokong kita selagi kita berani dan beri 100 peratus. Jadi itu cara saya buat persiapan setiap kali perlawanan seperti ini,” tambahnya.
Selain aksi KL City dan JDT, satu lagi perlawanan separuh akhir membabitkan Kuching City FC yang akan berkunjung ke Stadium MBPJ berdepan Selangor FC pada Ahad. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KL City FC