PUTRAJAYA – Pertandingan PolyCCSkills 2026 bagi bidang High Rope anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama Kolej Komuniti Sungai Siput (KKSS) terus memperkukuh kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pembangunan kemahiran berasaskan industri.
Pertandingan itu menghimpunkan 18 peserta mewakili Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dari seluruh negara bagi menguji kompetensi dalam aspek teknikal, pengurusan risiko, penggunaan peralatan serta pematuhan prosedur keselamatan yang menjadi keutamaan dalam bidang pelancongan dan rekreasi luar.
Sebagai nilai tambah, program tersebut turut menampilkan demonstrasi High Rope yang dikendalikan pensyarah Program Pengembaraan Pelancongan KKSS, Mohd Shafiee Hassan yang mempamerkan teknik pengendalian peralatan, prosedur keselamatan serta kemahiran asas dan lanjutan mengikut piawaian industri.
Bagi memastikan pertandingan berlangsung secara telus dan menepati standard industri, proses penilaian dikendalikan dua panel juri profesional yang mewakili Petzl Technical Partner (PTP) dan Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia (PJRM).
Mohd Shafiee berkata, aktiviti High Rope bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah merupakan latihan profesional yang membentuk peserta menjadi individu berdisiplin, berani membuat keputusan dan cekap mengurus risiko.
“Setiap elemen dalam High Rope memerlukan peserta menguasai aspek keselamatan, penggunaan peralatan yang betul, komunikasi yang berkesan dan keyakinan diri.
“Bidang ini bukan hanya menguji kekuatan fizikal, malah membentuk kemahiran kepimpinan, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang amat diperlukan dalam industri Pengembaraan Pelancongan,” katanya.
KKSS berharap penganjuran program seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi bidang Pengembaraan dan Pelancongan sebagai antara cabang TVET yang menawarkan prospek kerjaya luas dalam industri pelancongan, rekreasi, pendidikan luar dan latihan profesional. – DETIK MALAYSIA
