GLASGOW – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) melahirkan rasa syukur apabila sasaran awal untuk memenangi tiga pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 berjaya dicapai.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, pencapaian itu membuktikan atlet angkat berat negara berupaya bersaing dan muncul juara di pentas antarabangsa sekiranya diberikan persediaan serta sokongan yang sewajarnya.
Menurut beliau, kejayaan itu turut membuktikan sukan angkat berat mempunyai potensi besar untuk menjadi antara penyumbang utama pingat negara pada temasya utama seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Olimpik.
“PABM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua atlet, jurulatih, pegawai, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), para penaja serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan doa dan sokongan kepada kontinjen negara.
“Tahniah kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai yang telah berkorban masa, tenaga serta menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh persiapan sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Komanwel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, PABM melahirkan rasa terkilan terhadap beberapa tindakan yang diambil ISN pada saat-saat akhir menjelang temasya itu yang didakwa memberi tekanan kepada atlet selain sedikit sebanyak menjejaskan fokus dan semangat mereka ketika berada di fasa paling kritikal sebelum pertandingan.
Menurut Ayub, setiap keputusan membabitkan kebajikan atlet khususnya berkaitan makanan tambahan, prestasi dan sokongan sains sukan perlu dibuat secara lebih terancang, teliti serta berdasarkan bukti saintifik melalui perbincangan bersama persatuan sukan kebangsaan dan pasukan kejurulatihan.
“Sebarang tindakan yang dibuat pada saat akhir berpotensi mengganggu persediaan atlet yang telah menjalani latihan intensif selama bertahun-tahun demi membawa cabaran negara.
“PABM berharap ISN dapat mengkaji semula dan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan makanan tambahan, prestasi, pemulihan atlet dan sokongan sains sukan kerana aspek ini amat penting khususnya kepada atlet angkat berat,” katanya.
Beliau berkata, atlet bertaraf dunia tidak hanya dibentuk melalui latihan semata-mata, sebaliknya memerlukan sistem sokongan sains sukan yang menyeluruh, konsisten serta keyakinan bahawa setiap keputusan dibuat demi meningkatkan prestasi mereka.
Dalam pada itu, Ayub berkata, perjuangan kontinjen negara di Glasgow masih belum berakhir apabila lima lagi atlet Malaysia akan beraksi dalam baki acara sekali gus berpeluang menambah kutipan pingat negara.
Katanya, PABM yakin semua atlet yang masih belum bertanding akan terus memberikan aksi terbaik demi Jalur Gemilang dan meneruskan momentum kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh rakan sepasukan mereka. – DETIK MALAYSIA
