KUALA TERENGGANU – Seramai 32 delegasi dari Kampung Teluk Ketapang akan menyertai Celebes International Summit on Education and Culture di Maros, Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia pada 7 hingga 11 Oktober depan.
Delegasi yang terdiri daripada Ahli Lembaga Kehormat, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Teluk Ketapang, pengurusan homestay, pengusaha homestay dan kampung inap serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang itu diberi taklimat khas di Masjid Al Ansar, Kem Seri Pantai, Teluk Ketapang pada 26 Julai lalu.
Penyertaan mereka adalah atas jemputan Institut Agama Islam (IAI) Aowa Ropa Konawe Selatan dan Southeast Asia Academy Mobility (SEAAM) Indonesia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Indonesia dan Ekonomi Kreatif.
Antara pengisian yang diatur sepanjang program ialah pembukaan sebuah gerai khas Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) sempena ekspo bagi mempromosikan kempen Visit Truly Terengganu 2027.
Selain itu, delegasi turut dijadual mengadakan lawatan ke Kampung Berua Geopark yang menerima pengiktirafan UNESCO serta menyampaikan sesi Talk Show mengenai amalan terbaik KHTK dalam membangunkan edu-pelancongan dan eko-pelancongan.
Program itu turut merangkumi majlis makan malam di pantai bersama kepimpinan koperasi daerah Maros dan Makasar serta sesi perkongsian sejarah asal usul Kampung Teluk Ketapang dan Kampung Telaga Daing oleh Pahlawan Bugis, Haji Fisabililah dari Makasar pada abad ke-18.
Kunjungan itu diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama antara Terengganu dan Makasar dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pelancongan. – DETIK MALAYSIA
