MILAN – Bek berpengalaman England, John Stones dilaporkan semakin hampir menyertai Inter Milan secara perpindahan percuma selepas mencapai persetujuan lisan dengan kelab Serie A itu.
Stones meninggalkan Manchester City pada penghujung musim 2025/2026 selepas kontraknya bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tamat dan tidak disambung.
Sepanjang bergelar ejen bebas, beberapa kelab EPL termasuk Liverpool, Arsenal dan Chelsea dikaitkan dengan pemain berusia 32 tahun itu, namun Inter kini muncul sebagai destinasi pilihannya.
Pakar perpindahan, Fabrizio Romano memaklumkan semua butiran kontrak antara Stones dan Inter telah dipersetujui, manakala urusan perpindahan hanya menunggu pemain itu menjalani pemeriksaan kesihatan.
Menurut Romano, Stones akan menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan semusim lagi.
Bek tengah itu turut dilaporkan bakal menerima gaji sekitar €4 juta semusim dan dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan di Milan dalam masa terdekat.
Stones bakal meninggalkan Manchester City selepas membuat 295 penampilan sepanjang hampir sedekad bersama kelab itu di bawah kendalian Pep Guardiola.
Sebelum ini, Liverpool dilaporkan memantau situasi Stones selepas bergelar ejen bebas, manakala Arsenal, Chelsea dan Juventus turut dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, keputusan Stones memilih Inter dijangka menyebabkan kelab Itali itu menghentikan usaha mendapatkan pertahanan Tottenham Hotspur, Cristian Romero yang sebelum ini dikaitkan dengan nilai perpindahan sekitar £42.5 juta.
Sepanjang bersama Manchester City, Stones memenangi enam gelaran EPL, satu Liga Juara-Juara, dua Piala FA, lima Piala Liga Inggeris serta satu Piala Dunia Kelab.
Pemain itu juga telah mengumpul 93 penampilan bersama skuad kebangsaan England dan membantu The Three Lions menamatkan kempen Piala Dunia 2026 di tempat ketiga.
Jika semua urusan berjalan lancar, Inter Milan bakal menjadi kelab pertama di luar England yang disertai Stones sepanjang karier profesionalnya. – DETIK MALAYSIA
Sumber: Football365
