SHAH ALAM – Pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar sah terlepas saingan Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selepas mengalami beberapa keretakan tulang akibat kemalangan ketika beraksi dalam Mandalika Racing Series.
Perkembangan itu disahkan oleh JDT Racing Team yang memaklumkan Andi kini sedang menjalani rawatan di bawah pemantauan pasukan perubatannya.
Menurut kenyataan rasmi pasukan itu, kecederaan dialami menyebabkan pelumba berkenaan tidak dapat mengambil bahagian pada aksi ARRC yang akan datang.
“Pemeriksaan perubatan mengesahkan Andi mengalami beberapa keretakan tulang dan kini sedang menerima rawatan di bawah jagaan pasukan perubatannya.
“Justeru, beliau tidak dapat beraksi pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC),” menurut kenyataan itu.
JDT Racing Team turut menegaskan kesihatan dan proses pemulihan Andi menjadi keutamaan pasukan ketika ini, selain memberi sokongan penuh sepanjang tempoh rehabilitasi sebelum mempertimbangkan kepulangannya ke litar.
“Kesihatan dan pemulihan pelumba kami adalah keutamaan. Kami komited memberikan sokongan penuh kepada Andi sepanjang proses rehabilitasi dan memastikan beliau memperoleh masa serta rawatan secukupnya untuk pulih sepenuhnya,” katanya.
Ketiadaan Andi hadir pada saat penting musim ARRC apabila JDT Racing Team terpaksa meneruskan kempen tanpa khidmat antara pelumba utamanya.
Dalam masa sama, seluruh warga JDT Racing Team turut menzahirkan doa dan sokongan kepada Andi serta keluarganya agar diberi kekuatan sepanjang proses pemulihan.
“Kami mendoakan Andi agar diberi kesembuhan yang lancar dan berharap dapat menyambut kepulangannya ke litar dalam keadaan lebih kuat,” menurut kenyataan itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC
