SEPANG – Kepulangan semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia disifatkan tercapai hasil hubungan diplomasi diraja yang erat antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.
Menerusi persefahaman bersejarah itu, Grand Prix Bahrain Gulf Air Formula Satu akan dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang pada Oktober 2026, sekali gus menyaksikan F1 kembali ke bumi Malaysia buat kali pertama sejak 2017.
Kejayaan mencapai persetujuan tersebut berpunca daripada persahabatan rapat yang terjalin antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad sejak 2017.
Hubungan itu kemudiannya berkembang menjadi kerjasama diplomatik lebih luas antara Malaysia dan Bahrain, selain terus diperkukuhkan menerusi Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada 2025.
Ikatan erat kedua-dua pemimpin itu menjadi faktor penting apabila Grand Prix Bahrain berdepan ketidaktentuan susulan konflik bersenjata yang sedang berlaku di Asia Barat sehingga mengancam kedudukannya dalam kalendar Formula Satu musim 2026.
Dalam usaha memastikan perlumbaan itu dapat diteruskan, Raja Hamad dilaporkan menghubungi Sultan Ibrahim bagi membincangkan penyelesaian yang sesuai.
Perbincangan yang berlangsung atas semangat persahabatan dan saling mempercayai itu akhirnya membuka jalan kepada kerjasama strategik melibatkan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula Satu dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Hasilnya, satu perjanjian bersejarah dimeterai yang membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, sekali gus memastikan perlumbaan tersebut kekal dalam kalendar Kejuaraan Dunia Formula Satu 2026.
Perkembangan itu turut dianggap antara detik paling bermakna dalam sejarah sukan permotoran Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Litar Sepang yang terkenal sebagai antara litar moden paling digemari dalam kalangan pelumba dan peminat F1 kali terakhir menganjurkan perlumbaan Kejuaraan Dunia pada 2017 sebelum disingkirkan daripada kalendar.
Hampir sedekad kemudian, litar ikonik itu bakal kembali menjadi pentas Formula Satu menerusi kerjasama antarabangsa yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Pengumuman tersebut disambut baik peminat Formula Satu di Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang sekian lama mengharapkan kepulangan semula perlumbaan berprestij itu ke Sepang.
Selain menghidupkan semula sukan permotoran negara, perjanjian itu turut menjadi bukti bagaimana diplomasi diraja dan kerjasama antarabangsa mampu merealisasikan penganjuran acara sukan bertaraf dunia, di samping mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain serta mengembalikan Malaysia ke pentas sukan antarabangsa.
Dengan perlumbaan dijadual berlangsung pada Oktober depan, Sepang sekali lagi bersiap sedia menjadi tumpuan dunia Formula Satu menerusi kerjasama bersejarah yang lahir daripada persahabatan serta hubungan erat antara dua negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – RPO
