PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot fiber yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kapar lewat malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 11.50 malam oleh kapal ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan rutin di kedudukan 0.4 batu nautika barat daya Sungai Sementa Besar.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati bot fiber itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh seorang lelaki warga Indonesia berusia 32 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati tekong berkenaan gagal mengemukakan lesen atau kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan ikan serta dokumen berkaitan vesel.
Susulan itu, individu terbabit bersama bot fiber telah ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana menggunakan bot tanpa nombor pendaftaran serta dokumen yang sah, dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Abdul Muhaimin menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara, khususnya kegiatan perikanan haram yang boleh menjejaskan sumber marin serta keselamatan perairan.
Beliau berkata, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di perairan Selangor bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 untuk tindakan segera. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Maritim Negeri Selangor
