KUALA LUMPUR – Bekas capo Ultras Malaya, Lekir Ahmad menyeru penyokong bola sepak negara mengenepikan sementara segala pertikaian berkaitan bola sepak tempatan dan hadir memberi sokongan kepada Harimau Malaya ketika menentang Laos dalam aksi Kumpulan B Piala ASEAN Hyundai 2026 malam esok.
Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di media sosial, Lekir yang tampil semula selepas berehat daripada pergerakan penyokong menggesa peminat memenuhi Stadium KLFA demi memberi suntikan semangat kepada skuad kebangsaan.
“Lupakan dulu sengketa.”
Beliau turut mengajak penyokong yang tidak menyertai gerakan boikot supaya hadir ke stadium.
“Siapa yang tidak boikot, ayuh! Jangan biarkan pemain berjuang bersendirian.”
Menurutnya, walaupun wujud pelbagai pandangan mengenai situasi bola sepak negara ketika ini, pemain yang menyarung jersi Harimau Malaya tetap berhak menerima sokongan padu daripada penyokong.
“Seluruh penyokong bola sepak Malaysia, marilah ke stadium. Berikan sokongan penuh kepada Harimau Malaya. Satukan semangat, bersama untuk Malaysia!” katanya.
Seruan itu dibuat ketika sebahagian penyokong sebelum ini menggerakkan kempen memboikot perlawanan sebagai tanda protes terhadap isu pentadbiran dan pengurusan bola sepak negara.
Kumpulan penyokong berkenaan menegaskan boikot akan diteruskan sehingga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan terhadap beberapa isu yang menjadi perdebatan dalam arena bola sepak tempatan.
Antara tuntutan mereka ialah pembatalan kerakyatan tujuh pemain yang didakwa mempunyai isu berkaitan dokumen, pengembalian pengurusan penuh Harimau Malaya kepada FAM serta pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap tadbir urus bola sepak negara.
Bagaimanapun, Lekir berharap penyokong dapat memisahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pentadbiran daripada sokongan kepada pemain kebangsaan yang sedang berjuang dalam kejohanan itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Lekir Hj Ahmad
