KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya supaya kekal fokus dan tidak memandang rendah kemampuan Laos menjelang aksi kedua Kumpulan B Piala ASEAN Hyundai 2026.
Walaupun Malaysia membuka kempen dengan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Myanmar di Yangon, Cheng Hoe menegaskan kejayaan itu hanyalah langkah pertama dan masih banyak perlawanan sukar menanti.
“Kami gembira meraih tiga mata di Myanmar kerana itu adalah halangan pertama yang perlu diatasi.
“Namun, kami masih mempunyai beberapa perlawanan sukar. Saya harap pemain kekal berada pada tahap terbaik, bersedia dari segi mental dan meneruskan momentum positif ketika menentang Laos,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan bersama penyerang, Syafiq Ahmad.
Mengulas mengenai Laos yang tewas besar kepada Thailand dalam aksi pembukaan, Cheng Hoe berkata keputusan itu tidak menggambarkan kekuatan sebenar lawan mereka.
Katanya, Laos dibarisi pemain muda di bawah kendalian jurulatih baharu yang pastinya mahu bangkit selepas kekalahan tersebut.
“Kami tidak boleh memandang rendah Laos hanya kerana mereka tewas kepada Thailand.
“Mereka adalah pasukan muda dengan jurulatih baharu dan setiap pasukan pasti mahu bangkit selepas kalah. Kami perlu menghormati mereka kerana mereka akan turun dengan motivasi tinggi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan barisan kejurulatihan akan menilai tahap kecergasan pemain sebelum memutuskan sama ada mengekalkan kesebelasan utama atau melakukan rombakan selepas aksi yang memenatkan di Myanmar.
“Kami perlu menilai keadaan fizikal pemain sebelum membuat keputusan sama ada mengekalkan barisan sama atau melakukan perubahan,” katanya.
Dalam pada itu, Cheng Hoe memuji suasana harmoni dalam kem Harimau Malaya sejak latihan berpusat dimulakan dua minggu lalu.
Menurutnya, keserasian antara pemain berpengalaman, pemain muda dan beberapa muka baharu semakin baik walaupun mereka mempunyai tempoh persiapan yang singkat.
“Suasana dalam pasukan sangat baik.
“Kami memiliki gabungan pemain berpengalaman, pemain muda dan beberapa pemain yang belum pernah beraksi di peringkat antarabangsa.
“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana ramai antara mereka tidak pernah bermain bersama sebelum ini, terutama ketika liga domestik masih berada dalam fasa pramusim,” ujarnya.
Beliau turut memuji peranan pemain senior yang banyak membantu membimbing pemain muda menyesuaikan diri dalam skuad kebangsaan.
“Pemain senior melakukan tugas yang sangat baik membimbing pemain muda. Kesatuan itu membantu kami bangkit selepas melalui babak pertama yang sukar ketika menentang Myanmar,” katanya.
Bagaimanapun, Cheng Hoe mengingatkan bahawa semangat juang semata-mata tidak mencukupi untuk terus melangkah jauh dalam kejohanan itu.
“Semangat sahaja tidak mencukupi dalam bola sepak.
“Kami juga memerlukan kebijaksanaan, ketenangan dan membuat keputusan yang tepat untuk mengawal permainan.
“Pemain berpengalaman tahu bagaimana mengawal tempo permainan dan apabila peluang hadir ketika menentang Myanmar, kami berjaya menyudahkannya dengan baik,” katanya.
Beliau juga menegaskan komitmennya untuk terus memberi peluang kepada pemain muda membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.
“Kami sebagai jurulatih perlu memberi keyakinan kepada mereka bahawa mereka layak berada di sini.
“Mereka memerlukan perlawanan antarabangsa seperti ini untuk menimba pengalaman. Apabila diberi peluang, mereka perlu membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya.
Menjelang aksi menentang Laos, Cheng Hoe menyifatkan kepantasan serta serangan balas pantas lawan sebagai ancaman utama yang perlu dikekang.
“Mereka adalah pasukan yang bekerja keras dan gemar menyerang pantas selepas merampas bola.
“Kami tidak boleh kehilangan bola dengan mudah di kawasan sendiri. Pada masa sama, kami perlu lebih tajam dalam menyempurnakan setiap peluang yang dicipta,” katanya.
Malaysia memburu kemenangan kedua berturut-turut yang mampu mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B sekali gus mencerahkan peluang mara ke peringkat kalah mati Piala ASEAN Hyundai 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
