KUALA LUMPUR – Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tidak boleh diselesaikan hanya melalui operasi penguatkuasaan berkala kerana pendekatan itu sekadar menangani simptom, bukannya punca sebenar masalah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, selagi faktor yang mendorong kemasukan PATI tidak ditangani secara menyeluruh, isu berkenaan akan terus berulang meskipun pelbagai operasi dijalankan.
Menurut beliau, antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah itu ialah kewujudan sindiket penyeludupan manusia yang semakin terancang dan merentas sempadan, permintaan berterusan terhadap tenaga kerja murah oleh segelintir majikan, kelemahan penyelarasan antara agensi penguat kuasa serta kawalan sempadan yang masih mempunyai ruang untuk diperkukuhkan.
Selain itu, MCW turut membangkitkan kemungkinan wujudnya unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa oleh segelintir individu, selain proses pendakwaan yang lambat serta hukuman yang kurang memberi kesan pencegahan sehingga membolehkan sindiket terus beroperasi.
“Pendekatan whole-of-government perlu dilaksanakan dengan lebih agresif. Tumpuan bukan sahaja kepada penahanan PATI, malah usaha memutuskan keseluruhan rantaian jenayah yang melibatkan ejen penyeludupan, tekong, pemalsu dokumen, majikan yang menggaji PATI secara haram, pemilik premis yang melindungi mereka serta mana-mana pegawai awam yang bersekongkol,” katanya.
Jais turut mencadangkan supaya audit integriti diperkasakan terhadap agensi yang menguruskan sempadan dan imigresen, selain memperluaskan penggunaan teknologi seperti biometrik, analitik data, kecerdasan buatan (AI), pemantauan dron dan sistem perkongsian maklumat secara masa nyata bagi mengurangkan kebergantungan kepada proses manual yang terdedah kepada manipulasi.
Menurut badan itu, tindakan penguatkuasaan juga perlu disertai tindakan tegas terhadap pihak yang mewujudkan permintaan kepada PATI, khususnya majikan yang sengaja menggaji pekerja asing tanpa dokumen.
“Selagi permintaan terhadap tenaga kerja asing tanpa dokumen masih tinggi, sindiket akan terus mencari jalan membawa mereka masuk ke negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan membangunkan Pelan Tindakan Nasional Pengurusan PATI yang lebih komprehensif dengan penglibatan semua kementerian dan agensi berkaitan.
Menurutnya, pelan tersebut perlu mempunyai sasaran yang jelas, petunjuk prestasi yang boleh diukur serta mekanisme pemantauan berkala.
“Isu PATI bukan sekadar isu imigresen, tetapi turut melibatkan keselamatan negara, ekonomi, integriti pentadbiran dan kedaulatan undang-undang. Justeru, penyelesaiannya mestilah menyeluruh, konsisten dan bebas daripada sebarang campur tangan rasuah,” katanya. – DETIK MALAYSIA
