Pusat Sains & Kreativiti Terengganu yang terletak di Kuala Terengganu merupakan pusat sains terbesar di negeri Pantai Timur bakal menjadi tumpuan semperna Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 Julai 2026 nanti.
KUALA TERENGGANU – Terengganu sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Julai di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT).
Program berskala nasional itu menjadi antara inisiatif berterusan dalam memperluas pembudayaan sains dan teknologi, khususnya dalam kalangan generasi muda, selain memperkukuh pendedahan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat di Pantai Timur.
Penganjuran berkenaan turut dilihat sebagai platform penting dalam merapatkan jurang akses pendidikan sains, terutama bagi komuniti luar bandar, di samping memberi peluang kepada orang ramai memahami perkembangan semasa dalam dunia inovasi yang semakin pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pemilihan PSKT sebagai lokasi penganjuran bagi kali keempat membuktikan keyakinan berterusan pelbagai pihak terhadap peranan pusat itu sebagai hab pendidikan sains komuniti di rantau ini.

Beliau berkata, sambutan yang diterima setiap tahun menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat.
“Program ini bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat di Terengganu, malah turut menarik kehadiran pengunjung dari negeri jiran yang ingin mendekati bidang STEM secara lebih interaktif.
“Pendekatan yang dibawa memberi ruang kepada pengunjung untuk mengalami sendiri konsep sains melalui kaedah pembelajaran santai tetapi berimpak,” katanya.
Menurut beliau, kemasukan ke semua program sepanjang tempoh penganjuran adalah percuma sebagai usaha memastikan akses pendidikan sains dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa halangan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama strategik antara PSKT, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta agensi berkaitan menjadi faktor utama kejayaan penganjuran tersebut.
Katanya, sinergi berkenaan membolehkan pelbagai pengisian berkualiti diketengahkan, selaras dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).

Antara tarikan utama termasuk program “Nuklear Untuk Rakyat” oleh Agensi Nuklear Malaysia yang dijadual berlangsung pada 19 Julai di Auditorium PSKT, bertujuan meningkatkan kefahaman awam mengenai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.
Selain itu, pertandingan muzikal sains melibatkan penyertaan sekolah dari seluruh Zon Timur dijangka menjadi antara acara tumpuan, dengan penekanan kepada kreativiti pelajar dalam menggabungkan elemen STEM dan seni persembahan.
Secara keseluruhan, Minggu Sains Negara 2026 bakal menampilkan lebih 10 acara utama serta pelbagai aktiviti sampingan berkonsepkan edutainment yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Penganjuran ini diharap dapat terus menyemai minat terhadap STEM, di samping mencetuskan inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang sains dan teknologi sebagai pemacu pembangunan negara. – DETIK MALAYSIA
