JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama MyGig melancarkan Rest & Recharge Area Zone MBJB × MyGig di Pusat Komuniti Kempas di sini pada 10 Julai lalu sebagai usaha meningkatkan kebajikan komuniti penghantar.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri foodpanda Malaysia yang menyifatkan inisiatif berkenaan mampu menyediakan ruang rehat lebih selesa dan kondusif kepada rakan penghantar.
Menurut foodpanda riders, kemudahan itu membolehkan rider berehat, mengecas peranti serta memulihkan tenaga sebelum meneruskan tugasan penghantaran.
“Terima kasih kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan MyGig atas jemputan serta usaha dalam mewujudkan kemudahan yang memberi manfaat kepada komuniti rider.
“Penghargaan juga kepada semua rider yang hadir memeriahkan majlis. Semoga inisiatif seperti ini dapat terus menyokong kebajikan dan kesejahteraan rakan penghantar yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Tambahnya, usaha berkenaan diharap dapat membantu membina ekosistem penghantaran yang lebih selamat, selesa dan mampan demi manfaat semua pihak. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – foodpanda riders
