ALOR SETAR – Ketua jurulatih baharu Star City FC, Mehmed Durakovic selamat tiba di Alor Setar pada pukul 9.30 malam semalam selepas menempuh perjalanan jauh dari Melbourne, Australia.
Ketibaan beliau disambut Ketua Pegawai Operasi Star City FC, Al Naliq Hasmi Abu Hassan bersama barisan pengurusan pasukan.
Mehmed sebelum itu berlepas dari Melbourne ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang dan seterusnya bergerak ke Alor Setar.
Beliau dijadual memulakan tugas hari ini dengan meninjau persiapan latihan pasukan menjelang sesi latihan rasmi yang akan bermula pada 18 Julai ini.
Kehadiran pengendali berpengalaman itu diharap dapat membawa nafas baharu kepada Star City FC bagi menghadapi saingan musim baharu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – IFC Corp
