BANGKOK – Bintang Muay Thai negara, Rifdean Masdor mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila meraih kemenangan knockout (KO) pusingan pertama ke atas petarung Iran, Javad Mozafari pada kejohanan The Inner Circle 19 di Stadium Lumpinee, semalam.
Kejayaan bergaya itu bukan sahaja meneruskan peningkatan prestasi atlet berusia 23 tahun tersebut, malah menghadiahkannya kontrak lumayan bernilai AS$100,000 (RM425,000) bersama ONE Championship.
Sebagai tambahan, Rifdean turut menerima Bonus Prestasi sebanyak 350,000 Baht (RM44,000) hasil aksi cemerlang yang dipamerkannya.
Dikenali dengan gelaran ‘Magic Boy’, Rifdean tidak menunggu lama untuk membuktikan kemampuannya di salah satu gelanggang Muay Thai paling berprestij di dunia itu.
Dengan kombinasi ketenangan, ketepatan serta kuasa pukulan yang mengagumkan, dia hanya memerlukan satu pusingan untuk menamatkan cabaran Mozafari dan menarik perhatian pihak pengurusan ONE Championship.
Kemenangan tersebut dianggap sebagai pencapaian terbesar dalam karier profesionalnya setakat ini, sekali gus mengangkat namanya sebagai antara prospek paling cerah Malaysia dalam sukan tempur.
Menurut Rifdean, cabaran paling sukar sebenarnya bukanlah lawan yang berada di hadapannya, sebaliknya dirinya sendiri.
“Pertarungan ini sebenarnya adalah saya melawan diri sendiri. Ia bukan menentang orang lain. Saya berlawan dengan diri saya sendiri,” katanya selepas tamat pertarungan.
Beliau menjelaskan disiplin tinggi dalam latihan serta kekuatan mental yang dibina sejak beberapa bulan lalu menjadi faktor utama di sebalik kejayaan tersebut.
Mengulas mengenai perancangan masa depannya, Rifdean berjanji akan terus meningkatkan prestasi dan mengekalkan disiplin bagi menghadapi cabaran seterusnya.
“Untuk pertarungan seterusnya, saya akan menjadi lebih baik dan terus berdisiplin,” ujarnya.
Walaupun berjaya meraih kemenangan besar serta ganjaran yang mampu mengubah kehidupannya, Rifdean mengakui masih sukar mempercayai apa yang berlaku.
“Sejujurnya saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Saya kehilangan kata-kata. Tetapi ini adalah pertarungan yang sangat baik untuk saya,” katanya.
Reaksi rendah diri itu menggambarkan betapa besar makna kejayaan berkenaan yang berjaya mengubah perjalanan kariernya dalam tempoh beberapa minit sahaja.
Kejayaan Rifdean turut mengukuhkan lagi kehadiran petarung Malaysia di pentas Muay Thai antarabangsa, dengan kontrak ONE Championship dianggap sebagai antara pencapaian tertinggi dalam sukan itu.
Kini, dengan kontrak profesional di tangan serta reputasi yang semakin meningkat, ‘Magic Boy’ dilihat berpotensi menjadi antara wakil negara yang mampu mencipta nama di pentas dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE Championship