KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan mengembalikan dana berjumlah RM1 juta daripada Amerika Syarikat (AS) yang diperuntukkan bagi projek pemulihan Tugu Negara kerana disifatkan menimbulkan persoalan moral.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menghargai usaha memelihara Tugu Negara sebagai warisan sejarah negara, namun penerimaan dana daripada AS dianggap tidak wajar memandangkan negara itu dikaitkan dengan pelbagai peperangan, sekatan ekonomi, campur tangan ketenteraan serta sokongan senjata kepada Israel.
Menurut beliau, ketika rakyat Palestin terus menjadi mangsa serangan di Gaza, simbol perjuangan dan pengorbanan negara tidak sepatutnya dipulihkan menggunakan dana daripada sebuah kuasa yang didakwa mempunyai kaitan dengan penderitaan rakyat tertindas.
“Malaysia memahami kepentingan mengekalkan hubungan diplomatik dan kepentingan nasional dengan semua kuasa besar. Namun, sikap berkecuali tidak bermakna kita perlu mengorbankan kepekaan moral.
“Tugu Negara ialah lambang maruah, pengorbanan dan kedaulatan negara. Ia tidak wajar dicemari dengan dana yang membawa beban sejarah penindasan, peperangan dan pertumpahan darah rakyat tertindas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berpandangan, nilai RM1 juta bukanlah jumlah yang terlalu besar bagi sebuah negara berdaulat seperti Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, jika benar negara menghargai Tugu Negara, kos pemuliharaan sepatutnya ditanggung menggunakan dana kerajaan atau melalui sumbangan rakyat Malaysia sendiri.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa Universiti Malaya Kuala Lumpur (UMK) menolak dana berkenaan demi mempertahankan maruah institusi ilmu serta prinsip kemanusiaan.
“Warisan negara tidak boleh dipisahkan daripada nurani bangsa. Kembalikan dana tersebut,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan AS akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi projek restorasi Tugu Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia tahun depan.
Insentif tersebut akan disalurkan kepada UMK menerusi Dana Duta bagi Pemeliharaan Warisan Budaya (Ambassadors Fund for Cultural Preservation, AFCP). – DETIK MALAYSIA
