HOUSTON – Maghribi mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas membelasah Kanada 3-0 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium NRG, awal pagi tadi.
Tonggak tengah, Azzedine Ounahi muncul wira apabila meledak dua gol, manakala Soufiane Rahimi melengkapkan kemenangan bergaya The Atlas Lions menerusi jaringan pada masa kecederaan.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang babak pertama, namun gagal memecahkan kebuntuan apabila pertahanan masing-masing tampil lebih ampuh.
Bersambung babak kedua, Maghribi meningkatkan tempo permainan sebelum Ounahi membuka tirai jaringan pada minit ke-50 menerusi penyudah tenang menewaskan penjaga gol Kanada.
Kanada cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun corak permainan tersusun Maghribi menyukarkan wakil Amerika Utara itu mencipta peluang berbahaya.
Ounahi sekali lagi menghukum Kanada apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-82 untuk meletakkan Maghribi semakin selesa di hadapan.
Rahimi kemudian menutup tirai kemenangan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-98 sekali gus mengesahkan tiket Maghribi ke kelompok lapan pasukan terbaik.
Kemenangan itu turut mengukuhkan rekod cemerlang Maghribi ke atas Kanada apabila kini menang empat daripada lima pertemuan, manakala satu lagi aksi berakhir seri. Kanada masih gagal mencatat kemenangan pertama ke atas lawan tersebut.
Sepanjang lima pertemuan itu, Maghribi meledak 13 gol dan hanya melepaskan empat jaringan. Malah, pertemuan mereka pada saingan Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar turut memihak kepada Maghribi menerusi kemenangan 2-1 pada peringkat kumpulan.
Sebelum ini, Maghribi mara ke pusingan 16 terbaik selepas menyingkirkan Belanda menerusi penentuan penalti susulan keputusan seri 1-1, manakala Kanada menewaskan Afrika Selatan 1-0.
Pada aksi suku akhir nanti, kapten Maghribi, Achraf Hakimi dan rakan sepasukan bakal menanti pemenang pertemuan antara Perancis dan Paraguay. – DETIK MALAYSI
Kredit foto – FMRF
