SOLO – Skuad bawah 16 tahun (B-16) negara mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit pada penghujung permainan untuk mengikat Indonesia 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan, Solo, malam tadi.
Perlawanan itu menjadi medan terbaik buat kedua-dua pasukan membuat persiapan menjelang kempen kelayakan Piala Asia B-17 yang dijadual berlangsung pada November depan.
Dibimbing Shukor Adan, Malaysia turun dengan barisan terbaik yang diketuai pertahanan tengah, Adam Muqri, manakala Fareez Danial dan Naim Musaddiq turut disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Indonesia pula mempertaruhkan skuad mantap yang diketuai Ramadhan Putra, dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang perlawanan.
Selepas aksi seimbang, tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-79 menerusi Dhamar Kusuma. Gol itu hadir selepas percubaan Chico Jericho ditepis penjaga gol Malaysia sebelum Dhamar pantas menyambar bola muntah untuk meletakkan Indonesia di hadapan 1-0.
Ketika Indonesia dilihat semakin hampir meraih kemenangan, Malaysia bangkit pada saat-saat akhir menerusi pemain gantian, Muzakif Fitri.
Penyerang muda itu tenang menyempurnakan peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan, sekali gus membisukan penyokong tuan rumah dan memastikan Harimau Muda membawa pulang keputusan seri yang cukup berharga.
Keputusan 1-1 itu membuktikan semangat juang tinggi dipamerkan anak-anak buah Shukor, selain memberikan keyakinan menjelang kempen kelayakan Piala Asia B-17 nanti.
Malaysia dan Indonesia dijadual bertemu sekali lagi dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Manahan pada Selasa ini, sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua jurulatih menilai tahap kesiapsiagaan pasukan sebelum menghadapi cabaran sebenar di pentas Asia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
