HOUSTON – Portugal mengukuhkan status sebagai antara calon utama juara Piala Dunia 2026 selepas membenam Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K di Stadium NRG, awal pagi tadi.
Bintang veteran, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi watak utama apabila meledak dua gol untuk membantu skuad kendalian Roberto Martinez meraih kemenangan terbesar mereka setakat ini dalam kejohanan tersebut.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan Portugal kini mengumpul empat mata daripada dua perlawanan sekali gus merampas kedudukan teratas Kumpulan K.
Sebaliknya, Uzbekistan bimbingan Fabio Cannavaro terus menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata, sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk mara ke pusingan 32 terbaik.
Portugal tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Ronaldo menanduk masuk hantaran lintang rakan sepasukan pada minit keenam sebelum menewaskan penjaga gol Uzbekistan, Abduvohid Ne’matov.
Pasukan Eropah itu menggandakan kelebihan pada minit ke-17 menerusi sepakan percuma menarik daripada Nuno Mendes yang gagal diselamatkan Ne’matov.
Ronaldo kemudian melengkapkan jaringan peribadinya pada minit ke-37 menerusi satu lagi penyudah tajam untuk memastikan Portugal mendahului 3-0 sebelum rehat.
Memasuki babak kedua, Cannavaro melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Hojiakbar Alijonov dan Akmal Mozgovoy dalam usaha mengubah corak permainan pasukannya.
Bagaimanapun, malang terus menimpa Uzbekistan apabila Ne’matov tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-60 untuk menghadiahkan gol keempat kepada Portugal.
Pesta gol Portugal disempurnakan pemain gantian, Rafael Leao pada minit ke-88 apabila beliau berjaya meledak jaringan sejurus dimasukkan bagi memastikan kemenangan besar 5-0.
Keputusan tersebut meletakkan Portugal dalam kedudukan terbaik untuk melangkah ke pusingan kalah mati, manakala Uzbekistan kini berada dalam keadaan terdesak menjelang aksi terakhir kumpulan.
Uzbekistan wajib mencatat kemenangan ke atas Congo pada 28 Jun ini sekiranya mahu terus menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FPF