GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM14 juta yang aktif membawa masuk bekalan dari pantai timur untuk pasaran Lembah Klang menerusi tiga siri serbuan pada 13 dan 14 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil risikan berterusan membawa kepada penahanan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 29 hingga 38 tahun di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres di Batu Caves, polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki berperanan sebagai penjaga stok.
“Hasil pemeriksaan menemukan 197 bungkusan plastik berisi dadah jenis ketamin seberat kira-kira 200 kilogram serta 121 bungkusan plastik berisi methamphetamine seberat 125 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.
Hussein berkata, serbuan kedua dilakukan di kawasan parkir sebuah kondominium di Wangsa Maju berjaya menahan seorang lelaki tempatan, namun tiada rampasan dibuat. Serbuan ketiga di unit kondominium berdekatan pula membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan tanpa penemuan barang terlarang.
“Secara keseluruhan, rampasan dadah jenis ketamin dan methamphetamine itu dianggarkan bernilai RM14 juta yang mampu menjejaskan hampir 1.29 juta individu jika dipasarkan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan rumah sewa di Lembah Klang sebagai stor sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Modus operandi mereka ialah membawa dadah melalui laluan darat dari pantai timur termasuk menggunakan laluan utama dan laluan tikus,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Hussein berkata, ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan kini direman tujuh hari bermula 14 hingga 20 Oktober.
“Polis turut menyita aset bernilai RM300,000 termasuk enam kenderaan pelbagai jenis, barangan kemas dan harta lain di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Beliau menegaskan, JSJN komited membanteras penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah boleh menyalurkannya melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA