Skuad muda futsal negara tundukkan Vietnam, podium milik Malaysia

NOTHABURI, Thailand – Malaysia menamatkan kempen ASEAN Futsal Cup B-19 2025 di tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi penentuan tempat ketiga hari ini.

Skuad muda negara bangkit dengan penuh semangat selepas tewas kepada Thailand pada aksi separuh akhir, juga menerusi sepakan penalti, bagi memastikan sekurang-kurangnya membawa pulang kedudukan podium.

Vietnam turut turun dengan misi sama untuk menebus maruah selepas dibelasah Indonesia dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Namun, hasrat anak buah Rakhpol Sainetngam untuk memulakan aksi dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila gawang mereka dibolosi seawal minit kelima.

Pemain Vietnam, Nguyen Truong Hoang Long meletakkan pasukannya di hadapan, sekali gus mengejutkan kem Malaysia.

Tersentak dengan jaringan awal itu, skuad negara meningkatkan tempo permainan untuk mencari gol penyamaan, namun keputusan 1-0 memihak Vietnam kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia tampil lebih agresif dengan asakan bertali arus ke arah gawang Vietnam yang dikawal Truong Van Khanh.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang yang terhidang, memaksa Rakhpol menggunakan taktik ‘power play’ ketika baki tiga minit perlawanan.

Usaha keras itu akhirnya membuahkan hasil apabila Iqbal Hazim Radzi menyamakan kedudukan pada minit ke-39, sekali gus menghidupkan semula peluang Malaysia.

Drama berterusan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan pada minit ke-40. Vietnam kembali mendahului menerusi Nguyen Thac Hieu sebelum Aidil Zakwan Zaidi menyamakan kedudukan 2-2 untuk membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Dalam penentuan penuh debaran itu, Aidil Fazrez Zul Hatta muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penentuan untuk memastikan kemenangan Malaysia 4-3.

Keputusan itu membolehkan Malaysia menamatkan kejohanan di tempat ketiga, manakala tumpuan kini terarah kepada aksi final antara Indonesia dan tuan rumah, Thailand bagi merebut gelaran juara ASEAN Futsal Cup B-19 2025. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - FAM