NGO, ahli politik Malaysia kecam dakwaan serangan AS terhadap Venezuela

KUALA LUMPUR – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik, aktivis serta golongan intelektual Malaysia mengecam sekeras-kerasnya dakwaan serangan ketenteraan berskala besar oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap wilayah berdaulat Venezuela, termasuk dakwaan penahanan secara paksa Presiden Venezuela, Nicolás Maduro dan isterinya.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan berkenaan menyifatkan tindakan itu sebagai satu perbuatan pencerobohan ketenteraan yang serius, campur tangan haram serta serangan langsung terhadap kedaulatan dan kebebasan politik sebuah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kenyataan tersebut, pengeboman dan dakwaan penculikan ketua negara yang sedang memerintah merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya Artikel 2(4) Piagam PBB yang melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah dan kebebasan politik mana-mana negara.

Selain itu, tindakan tersebut turut bercanggah dengan prinsip kesaksamaan kedaulatan negara serta larangan mutlak terhadap perubahan rejim melalui kekerasan ketenteraan.

“Tiada sebarang dakwaan penguatkuasaan undang-undang secara unilateral, justifikasi politik atau naratif keunggulan moral yang boleh menghalalkan pengeboman sebuah negara berdaulat atau penyingkiran paksa kepimpinannya,” menurut kenyataan itu.

Gabungan berkenaan memberi amaran bahawa tindakan sedemikian mencerminkan satu corak berbahaya di mana kuasa besar bertindak sewenang-wenangnya menggulingkan kerajaan yang tidak sehaluan, sekali gus meruntuhkan asas sistem antarabangsa dan menjadikan undang-undang antarabangsa sebagai alat terpilih terhadap negara lemah.

“Jika tidak dicabar, preseden ini mengancam semua negara membangun dan mempercepatkan kemerosotan dunia ke arah keadaan tanpa undang-undang, paksaan serta konflik berpanjangan,” katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan penolakan terhadap sebarang bentuk perubahan rejim melalui keganasan ketenteraan, sambil mengingatkan bahawa sejarah membuktikan pendekatan sedemikian hanya membawa kepada keruntuhan institusi, penderitaan orang awam serta ketidakstabilan berpanjangan.

“Ke­adilan tidak boleh ditegakkan melalui bom, akauntabiliti tidak boleh dipaksakan melalui pencerobohan dan demokrasi tidak boleh dibina di atas runtuhan kedaulatan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, gabungan NGO dan tokoh berkenaan menggesa Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar berhubung dakwaan pencerobohan tersebut, selain meminta Setiausaha Agung PBB mengaktifkan mekanisme pencegahan dan siasatan di bawah Piagam PBB.

Mereka turut menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meneliti pelanggaran undang-undang antarabangsa serta tanggungjawab negara, di samping menyeru badan serantau dan antarabangsa termasuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali serta negara-negara Selatan Global mengeluarkan kecaman tegas.

Gabungan itu juga menegaskan bahawa masa depan Venezuela mestilah ditentukan sepenuhnya oleh rakyat Venezuela melalui proses yang sah, aman dan berdaulat tanpa campur tangan ketenteraan asing.

“Kedaulatan adalah tidak boleh dicabuli. Undang-undang antarabangsa mesti terpakai kepada semua negara tanpa pengecualian. Penghakisan prinsip ini bukan sahaja mengancam Venezuela, malah asas keamanan dan keadilan global,” katanya.

Antara penandatangan kenyataan bersama itu ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Alliance of World Mosques in Defence of Al Aqsa (MANAR), Sekretariat Perhimpunan Ulama Asia (SHURA), Global Coalition in Support of Al Aqsa and Palestine (GCAP-Malaysia), Malaysian Palestine Workers Union (MPWU) serta beberapa pertubuhan dan tokoh masyarakat lain. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - AFP