ACEH UTARA – ALK Koperasi HTK bersama pengurusan Tabung FFU menzahirkan penghargaan kepada semua ahli koperasi, pengusaha homestay, Kg Stay serta usahawan mikro kampung yang menyumbang dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mangsa banjir di Acheh Utara sejak Disember tahun lalu.
Hasil sumbangan tersebut, dua unit generator berjaya dibeli dan diserahkan kepada Madrasah Dayah Darussa’adah serta Masjid Kampung Teungoh yang sebelum ini terputus bekalan elektrik susulan banjir besar pada 27 November 2025.
Setiap generator bernilai kira-kira IDR5 juta itu disampaikan oleh wakil Tabung FFU KHTK di Acheh Utara untuk kegunaan harian pihak masjid dan madrasah.
Menurut pihak penganjur, bantuan tersebut diharap dapat melancarkan urusan ibadah serta aktiviti pembelajaran di madrasah, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Inisiatif ini adalah hasil keprihatinan bersama dalam membantu meringankan beban mangsa banjir, selain memastikan kemudahan asas dapat dipulihkan secara berperingkat,” katanya. – DETIK MALAYSIA