KUALA TERENGGANU – Program Bulan Silang Budaya anjuran Radio Televisyen Malaysia Terengganu memberi penghormatan kepada Homestay Kampung Teluk Ketapang menerusi segmen Cerita Kampung Global: Dari Desa Ke Dunia bersama DJ Jaja.
Pengerusi koperasi homestay berkenaan berkongsi perjalanan kampung itu yang bermula sebagai desa biasa sebelum melonjak ke persada antarabangsa sejak 2006.
Menurutnya, kejayaan itu hasil promosi berterusan serta kerjasama rapat dengan ejen pelancongan yang berjaya menarik kehadiran pelancong dari pelbagai benua termasuk Eropah, Amerika Latin, Scandinavia, Rusia, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Asia Barat, Asia Pasifik, China serta negara ASEAN.
“Dari kampung biasa, kini Teluk Ketapang dikenali di peringkat global. Ini hasil usaha bersama komuniti dan sokongan pelbagai pihak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, program Edu-Tourism 2026 bersempena Asia Pacific Olympiad Championship dijangka menjadi platform baharu bagi menarik penyertaan negara-negara Asia Pasifik dengan kerjasama Pacific Asia Travel Association.
Pihak pengurusan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Telekom Malaysia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Institut Keusahawanan Negara, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu serta universiti awam yang banyak membantu pembangunan sektor pelancongan komuniti tersebut.
“Harapan kami agar Kampung Teluk Ketapang terus cemerlang dan kekal berdaya saing dalam mendepani cabaran industri pelancongan yang semakin mencabar,” katanya. – DETIK MALAYSIA