KUALA LUMPUR – Pengendali Al Ahli Saudi FC, Matthias Jaissle mengakui lega selepas pasukannya berjaya menewaskan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dalam aksi suku akhir AFC Champions League Elite 2025/26 yang berlangsung penuh dramatik.
Menurut Jaissle, perlawanan tersebut cukup sengit apabila juara Malaysia itu memberi tentangan hebat sehingga memaksa pasukannya bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir.
“Bukan mudah untuk berdepan lawan seperti JDT. Mereka pasukan yang kuat dan tersusun, tetapi kami berjaya mengharunginya.
“Kami mara ke pusingan seterusnya dalam perlawanan yang sangat sukar dan intensif, walaupun beraksi dengan 10 pemain,” katanya.
Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Xisco Muñoz terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila mendahului hasil jaringan sendiri pemain Al Ahli, Ali Majrashi.
Namun, Al Ahli bangkit mempamerkan mentaliti juara apabila berjaya membalikkan keadaan menerusi jaringan Franck Kessié dan Galeno.
Jaissle turut memuji disiplin pemain serta sokongan padu penyokong yang disifatkan sebagai faktor utama kemenangan mereka.
“Kekuatan mental dan disiplin pemain, ditambah sokongan luar biasa penyokong, menjadi pembeza. Kami layak untuk mara,” ujarnya.
Kemenangan itu menyaksikan Al Ahli muncul satu-satunya wakil Arab Saudi yang masih bertahan selepas Al Ittihad FC tersingkir di tangan Machida Zelvia.
Al Ahli kini bakal berdepan ujian getir menentang Vissel Kobe di separuh akhir, selepas kelab Jepun itu menyingkirkan Al Sadd SC menerusi penentuan penalti.
Dengan momentum dan keyakinan tinggi, Jaissle dan anak buahnya kini mengintai satu lagi langkah untuk mara ke final sekali gus mempertahankan kejuaraan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC