KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Malaysia) menggesa negara-negara Islam mengambil langkah tegas menamatkan kehadiran pangkalan tentera asing dan membina sistem keselamatan sendiri demi menjamin kedaulatan serta kestabilan rantau.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sokongan penuh diberikan terhadap seruan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, yang menekankan keperluan mendesak untuk membentuk struktur keselamatan Islam menggantikan pergantungan kepada kuasa luar.
“Kehadiran tentera asing di negara Islam bukan lagi pilihan strategik, tetapi punca utama ketidakstabilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, realiti semasa menunjukkan dunia Islam kini dikelilingi kehadiran ketenteraan asing, khususnya di Asia Barat, yang menempatkan puluhan ribu anggota tentera.
Antara negara yang menjadi lokasi pangkalan atau fasiliti ketenteraan termasuk Qatar, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan dan Iraq. Malah, Qatar menempatkan pangkalan terbesar Amerika Syarikat di rantau itu, iaitu Al Udeid Air Base yang berfungsi sebagai pusat operasi utama.
Mapim menegaskan, kehadiran ini telah mengubah landskap geopolitik dunia Islam sehingga wilayah umat Islam bukan sahaja menjadi pangkalan operasi, malah sasaran dalam konflik antarabangsa.
“Negara Islam hari ini bukan lagi pemain utama, tetapi telah menjadi medan permainan kuasa besar,” ujarnya.
Tambah beliau, alasan keselamatan yang sering digunakan bagi mewajarkan kehadiran tentera asing ternyata gagal apabila konflik terus meningkat, ketegangan memuncak dan ancaman keselamatan semakin membimbangkan.
Sehubungan itu, Mapim mengemukakan beberapa cadangan utama termasuk pelaksanaan pelan pengunduran berperingkat tentera asing dalam tempoh tiga hingga lima tahun, di samping membangunkan pelan transisi keselamatan yang komprehensif.
Selain itu, penubuhan pakatan keselamatan Islam turut dicadangkan merangkumi kerjasama pertahanan kolektif, perkongsian risikan serta pembangunan teknologi dan latihan ketenteraan bersama.
Mapim juga menggesa supaya satu sidang tergempar dianjurkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan agenda tunggal memperkukuh keselamatan ummah serta merangka pelan tindakan yang bersifat wajib, bukan sekadar resolusi.
“Selagi umat Islam terus berpecah, selagi itulah pangkalan asing akan kekal, konflik tidak akan berakhir dan kedaulatan tidak akan dapat dicapai,” tegasnya.
Beliau menambah, dunia Islam memiliki kekuatan besar dari segi jumlah umat, negara serta sumber, namun masih gagal mempertahankan kepentingan sendiri akibat kelemahan dari sudut kesatuan dan keberanian.
Katana, seluruh negara Islam diseru agar menghentikan kebergantungan kepada kuasa asing dan mula membina kekuatan sendiri secara kolektif.
“Kedaulatan tidak boleh dipinjam, ia mesti dibina.” – DETIK MALAYSIA