KUALA LUMPUR – Kepulangan skuad Harimau Malaya ke kem latihan berpusat mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong, khususnya apabila beberapa nama besar yang diharapkan tiada dalam senarai kali ini.
Antara pemain yang menjadi perhatian ialah Nacho Mendez, Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco, namun ketiga-tiga mereka tidak disenaraikan sekali gus mengundang rasa kecewa peminat.
Ketua jurulatih, Peter Cklamovski bagaimanapun menjelaskan situasi tersebut berpunca daripada kekangan pentadbiran dan masalah kecergasan pemain.
“Pendaftaran mereka tidak sempat diselesaikan untuk perlawanan ini. Sebagai jurulatih, mudah mereka tidak tersedia untuk dipilih,” katanya.
Menurutnya, Mendez pula terpaksa diketepikan akibat kecederaan yang dialami dalam aksi terdahulu, sekali gus mengehadkan pilihan pasukan.
Dalam masa sama, beliau memberi bayangan positif apabila Bergson dan Gallifuoco menunjukkan minat tinggi untuk menyarung jersi kebangsaan pada jendela antarabangsa akan datang.
Pemilihan pemain berpengalaman seperti Junior Eldstal turut mengundang reaksi bercampur, namun Cklamovski mempertahankan keputusan itu dengan menekankan kepentingan elemen kepimpinan dalam pasukan.
Katanya, faktor “data kepimpinan” bukan sekadar statistik di atas kertas, sebaliknya memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan moral pasukan, terutama selepas isu pemotongan mata yang menjejaskan peluang Malaysia dalam kempen Piala Asia.
Sebagai persiapan, skuad negara dijadual menjalani kem latihan intensif di Thailand termasuk aksi ‘sparring’ dalaman sebelum berlepas ke Vietnam bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
Mengulas spekulasi masa depannya, Cklamovski menegaskan komitmennya kekal utuh bersama bola sepak Malaysia.
“Saya jatuh cinta dengan negara ini. Apa yang kami bina dalam tempoh 12 bulan lalu menunjukkan kami berada di landasan tepat. Spekulasi itu biasa, tetapi visi saya jelas iaitu mahu lihat bola sepak Malaysia bersatu mengejar impian,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM