SHAH ALAM – Tindakan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran dikecam keras apabila konflik diperluas ketika Gaza masih berdepan sekatan dan pelanggaran gencatan senjata yang berterusan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi itu menunjukkan corak kekebalan undang-undang apabila agresi ketenteraan diperluaskan, sedangkan penderitaan rakyat Palestin terus diabaikan.
Beliau berkata, data terkini di Gaza menunjukkan sebanyak 2,073 pelanggaran gencatan senjata direkodkan sepanjang 158 hari sejak 10 Oktober 2025 hingga 18 Mac lalu.
“Antara pelanggaran itu termasuk 750 insiden tembakan, 973 serangan dan bedilan, 87 pencerobohan kawasan awam serta 263 kemusnahan bangunan.
“Ini jelas membuktikan pelanggaran sistematik terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan perjanjian gencatan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelanggaran itu mengorbankan 677 nyawa dengan majoriti mangsa adalah orang awam termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas, selain 1,813 lagi cedera serta 50 individu ditahan.
Dalam masa sama, sekatan berterusan turut memburukkan krisis kemanusiaan apabila hanya 40 peratus bantuan dibenarkan masuk, manakala bekalan bahan api dan keperluan asas lain terus disekat.
“Menjelang Aidilfitri, rakyat Gaza berdepan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan, malah jutaan masih hilang tempat tinggal.
“Aidilfitri yang sepatutnya disambut dengan kegembiraan kini bertukar menjadi detik kesedihan dan kelangsungan hidup,” ujarnya.
Tambahnya, peluasan konflik ke Iran ketika Gaza masih bergolak menimbulkan persoalan besar terhadap keutamaan sebenar kuasa besar dunia.
Sehubungan itu, Mapim menggesa komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak tegas, memastikan pematuhan gencatan senjata serta membuka akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI