KUALA LUMPUR – Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran kini berada di tahap membimbangkan apabila dikhuatiri mencetuskan bencana kemanusiaan berskala besar.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkembangan itu, khususnya kemungkinan serangan ke atas infrastruktur awam kritikal.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sasaran terhadap sistem elektrik serta ancaman ke atas kemudahan air dan tenaga di rantau Teluk adalah satu peningkatan konflik yang amat berbahaya.
“Tindakan ini boleh menjejaskan jutaan orang awam, mengganggu bekalan air, elektrik dan perkhidmatan kesihatan serta mencetuskan tindak balas lebih besar di rantau itu.
“Ini bukan lagi konflik terhad, sebaliknya permulaan kepada bencana kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pemusnahan infrastruktur asas bukan strategi ketenteraan biasa, sebaliknya bentuk hukuman kolektif yang akan memberi kesan besar kepada rakyat biasa termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Tindakan menyasarkan kemudahan awam jelas melanggar prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan tidak boleh dinormalisasikan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa pengundi di Amerika Syarikat supaya memainkan peranan dalam menolak sebarang usaha ke arah peperangan.
“Rakyat Amerika mempunyai kuasa politik untuk mendesak pemimpin mereka bertanggungjawab dan mengelakkan konflik lebih besar.
“Diam terhadap peningkatan ini bermakna bersubahat,” katanya.
Tambahnya, sebarang serangan ke atas sistem tenaga dan air bukan sahaja menjejaskan Iran, malah berpotensi menggugat kestabilan Asia Barat, mengganggu pasaran tenaga global serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan.
Sehubungan itu, Mapim menggesa semua pihak agar menahan diri, meredakan ketegangan dan menghormati undang-undang antarabangsa sebelum keadaan menjadi tidak terkawal. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI