KUALA NERUS – Terengganu dijangka menjadi tumpuan ribuan pelajar dari rantau ASEAN menerusi penganjuran Olympiad Championship & SDGs Workshop 2027 yang dicadangkan berlangsung di Lembah Pendidikan Kuala Nerus.
Perkara itu dibincangkan dalam satu pertemuan khas antara Koperasi HTK, Rektor Institut Agama Islam (IAI) Rawa Aopa Sulawesi Tenggara dan Jabatan Pendidikan Kanowe Selatan, Sulawesi Tenggara pada 20 Julai lalu.
Dalam perbincangan tersebut, IAI memaklumkan bahawa Southeast Asia Academic Mobility (SEAAM) dan BINUS Business School Case Center berhasrat bekerjasama memperkasakan penganjuran Olympiad Championship & SDGs Workshop 2027 di Terengganu.
Menurut kenyataan itu, IAI dan SEAAM akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia serta Kementerian Agama Republik Indonesia bagi mendapatkan penyertaan pelajar Junior High School (JHS) dan Senior High School (SHS) dari 38 wilayah di negara itu, melibatkan sekolah agama dan sekolah harian.

Pemilihan peserta akan dilakukan di peringkat wilayah sebelum dua pelajar bagi kategori JHS dan SHS dipilih mewakili setiap wilayah ke Olympiad Championship 2027 di Terengganu.
Selain itu, IAI dan SEAAM turut mencadangkan dua acara baharu khusus untuk kategori SHS iaitu Making Homestay Bed Competition peringkat ASEAN dan ASEAN Business Case Writing Competition.
Sementara itu, satu mesyuarat penyelarasan Olympiad Championship 2027 akan diadakan di Terengganu pada 29 Oktober 2026 bersempena ASEAN Youth Forum bersama rakan strategik negeri.
Koperasi HTK berharap penganjuran Olympiad Championship 2027 mampu memeriahkan kempen Visit Malaysia 2027 (VM2027) dan Visit Truly Terengganu 2027, selain memperkukuhkan imej Kuala Nerus sebagai Lembah Pendidikan. – DETIK MALAYSIA
