SEPANG – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) muncul antara calon utama untuk mengembalikan Formula Satu (F1) ke Malaysia musim ini sekiranya Grand Prix (GP) Bahrain dibatalkan susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.
Menurut laporan The Race, pengurusan Formula Satu sedang menilai beberapa pelan kontingensi selepas ketegangan ketenteraan membabitkan Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan keraguan terhadap penganjuran beberapa perlumbaan di rantau berkenaan.
Sebelum ini, GP Bahrain yang ditangguhkan dijangka dijadualkan semula pada 4 Oktober, di antara GP Azerbaijan di Baku dan GP Singapura. Namun, situasi geopolitik yang semakin meruncing menyebabkan kemungkinan perlumbaan itu diteruskan semakin tipis.
Laporan itu menyebut serangan peluru berpandu yang berterusan serta kebimbangan terhadap aspek keselamatan menyebabkan Formula Satu berhati-hati untuk meneruskan perlumbaan di Bahrain, dengan keputusan muktamad dijangka dibuat sebelum cuti musim panas F1.
Keputusan itu turut dijangka dipengaruhi ketetapan Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA (WMSC) berhubung kalendar Kejuaraan Endurance Dunia FIA (WEC), selepas pusingan Qatar ditangguhkan ke 24 Oktober manakala perlumbaan penutup musim di Bahrain kekal dijadualkan pada 7 November.
Sekiranya GP Bahrain dibatalkan secara rasmi, Formula Satu dilaporkan mahu mengekalkan jumlah perlumbaan dalam kalendar, sekali gus menjadikan SIC sebagai antara pilihan utama berdasarkan beberapa kelebihan logistik.
Antaranya ialah kedudukannya yang berhampiran Singapura bagi memudahkan pengangkutan kargo, lokasi bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mempercepatkan pergerakan pasukan dan peralatan, selain memiliki infrastruktur bertaraf dunia serta pengalaman luas sebagai tuan rumah Formula Satu.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah Formula Satu secara berterusan dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan dihentikan berikutan peningkatan kos penganjuran, meskipun Litar Sepang kekal menjadi antara litar kegemaran ramai pemandu. Kini, SIC masih aktif menganjurkan pelbagai acara permotoran antarabangsa termasuk MotoGP.
Laporan sama turut menyebut sekiranya Formula Satu kehilangan lebih banyak perlumbaan pada penghujung musim termasuk GP Qatar atau GP Abu Dhabi, Litar Portimão di Portugal menjadi calon utama sebagai lokasi pengganti dan berpotensi menjadi gelanggang penutup musim 2026 pada 6 Disember, dua minggu selepas GP Las Vegas. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Reuters
