PAROI – Semua aksi laman sendiri Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super 2026/2027 akan berlangsung pada sebelah petang buat sementara waktu susulan kerja-kerja menaik taraf sistem lampu limpah di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Menurut kenyataan rasmi kelab itu, perlawanan di STAR Paroi dijadualkan bermula sama ada pada pukul 4.45 petang atau 5 petang mengikut jadual rasmi Liga Malaysia yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Katanya, penetapan waktu itu dibuat sementara kerja-kerja menaik taraf lampu limpah diteruskan bagi memastikan stadium berkenaan memenuhi spesifikasi MFL, khususnya keperluan pencahayaan untuk perlawanan waktu malam serta aksi yang dikendalikan pengadil bertaraf antarabangsa.
NSFC memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Seremban dan Kerajaan Negeri Sembilan bagi mempercepatkan projek naik taraf berkenaan.
“Selepas sistem lampu limpah memenuhi spesifikasi teknikal MFL, pihak kelab akan segera mengemukakan permohonan kepada MFL supaya baki perlawanan di laman sendiri dapat kembali dijalankan pada waktu malam,” menurut kenyataan itu.
Kelab itu optimis penyokong akan kembali dapat menikmati suasana aksi malam di STAR Paroi pada penghujung musim ini sekiranya kerja-kerja naik taraf siap mengikut perancangan.
Pada masa sama, NSFC mengakui jadual sepak mula pada sebelah petang mungkin memberi cabaran kepada penyokong, namun menghargai kesabaran, pemahaman dan sokongan berterusan yang diberikan sepanjang tempoh peralihan itu.
“Kami menghargai kesabaran dan pemahaman semua penyokong sepanjang tempoh ini. Sebarang perkembangan terkini mengenai projek naik taraf stadium dan perubahan jadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC
