PETALING JAYA – Sebanyak 12 pasukan disahkan menyertai saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027 yang dijadual membuka tirai pada 28 Ogos depan.
Amateur Football League (AFL) dalam kenyataan memaklumkan, 10 pasukan sedia ada yang mengesahkan penyertaan ialah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor FC II, Kedah FA, Perak FA, UM-Damansara United, Kelantan City FC (Kelantan WTS FC), Manjung City FC, Armed Forces FC, Bunga Raya FC dan Malaysian University-UiTM.
Saingan musim baharu itu turut menyaksikan penyertaan dua muka baharu iaitu Negeri Sembilan FC II serta naib juara Liga A2 Amateur musim lalu, USM FC.
Menurut AFL, juara Liga A2 Amateur musim lalu, AZM Rovers FC dan pasukan tangga ke-14 Liga A1 musim lalu, Perlis GSA FC pula memilih untuk tidak mengesahkan penyertaan mereka.
Pada peringkat awal, AFL merancang mempertandingkan 14 pasukan bagi musim 2026/2027 dengan proses penilaian melibatkan 16 pasukan termasuk tiga permohonan baharu.
“Masih terdapat empat pasukan dalam senarai menunggu yang berpeluang mengisi baki slot dan diberikan tempoh sehingga 31 Julai ini untuk melengkapkan dokumentasi pengesahan penyertaan sebelum dinilai semula berdasarkan merit,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Kelantan Red Warriors FC diumumkan akan beraksi dalam Liga Super musim depan, manakala KDA FC yang menamatkan saingan di zon penyingkiran Liga A1 musim lalu diturunkan ke Liga A2. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFL
